Kamera badan polis dilaksana tahun ini - Saifuddin - Utusan Malaysia

Kamera badan polis dilaksana tahun ini – Saifuddin

Kamera polis
SAIFUDDIN Nasution Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penggunaan kamera badan pada anggota polis di seluruh negara dijangka akan dilaksanakan pada suku kedua atau ketiga tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan itu kini dalam fasa terakhir yang melibatkan penelitian oleh jawatankuasa penilaian dan memaklumkan spesifikasi mengenai kamera itu dibangunkan selain pengeluaran dokumen tender.

“Baru-baru ini, proses taklimat kepada pembida yang berminat juga sudah diberikan dan jawatankuasa akan membuat penilaian sebelum perolehan lanjut dibuat.

“Saya yakin ia akan dilaksanakan tahun ini. Jika melihat proses itu, ia tidak memakan sehingga hujung tahun dan boleh jadi pada suku kedua atau ketiga ini,” katanya ketika ditemui selepas  program TownHall Rakyat di Karangkraf, semalam.

Disember lalu, beliau mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM30 juta bagi menyegerakan perolehan kamera badan untuk kegunaan polis dan proses itu dilakukan tanpa berkompromi dengan prinsip ketelusan dalam urusan perolehannya.

Penggunaan kamera itu mampu memudahkan pengumpulan bahan bukti dan meningkatkan integriti pasukan polis namun perlu mengelak manipulasi oleh mana-mana pihak.

Tegas Saifuddin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia sepenuhnya menggunakan kamera itu dalam langkah menangani isu korupsi dan integriti.

“Kerajaan berpegang kepada prinsip sifar toleransi terhadap isu rasuah di negara ini. Antara langkah memperkukuhkan integriti itu adalah menerusi teknologi dan salah satunya adalah penggunaan kamera badan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan mengenai kenyataan berunsur perkauman oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan masih sedang dijalankan.

“Saya cuma boleh memaklumkan bahawa sejumlah aduan ada dibuat dan kertas siasatan telah dibuka. Biar proses siasatan itu berlaku dulu dan kemudian ia akan dikemukakan kepada pejabat Peguam Negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya