PETALING JAYA: Petronas mengesahkan kakitangannya berada dalam keadaan selamat daripada konflik ketenteraan di ibu negara Khartoum, Sudan.
Ini meskipun angka kematian meningkat apabila 56 maut dan 595 lagi cedera ekoran perebutan kuasa antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
“Kesemua kakitangan yang berada di Kompleks Petronas di Khartoum, Sudan, selamat,” menurut Unit Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas dalam kenyataan.
Selain itu, kenyataan itu memaklumkan, kakitangan Kumpulan Petronas yang lain juga selamat berada di rumah masing-masing atau di luar negara.
“Kompleks berkenaan mempunyai premis kediaman dan pejabat termasuk pejabat Kedutaan Malaysia di Khartoum,” katanya.
Petronas memberi jaminan terus memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan semua kakitangannya.
“Langkah ini adalah sentiasa kekal menjadi keutamaan Petronas,” katanya.
Setakat ini, seramai 29 warganegara Malaysia kebanyakannya pelajar masih berada di Sudan. – UTUSAN