PETALING JAYA: Kabinet Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfokuskan usaha untuk meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China dengan lebih kukuh.
Perdana Menteri berkata, pendirian pentadbirannya itu kerana negara sentiasa mempunyai hubungan yang baik dan positif dengan China.
“Saya mengambil pendirian bahawa keutamaan kami (menyokong) ‘Dasar Satu China’ selain menumpukan kepada hubungan dua hala dengan China,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa berucap pada mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari China, Li Qiang yang berlangsung di Great Hall of the People, di Beijing hari ini.
Menurut Perdana Menteri, hubungan kedua-dua negara juga boleh diperkukuhkan lagi kerana banyak dasar yang dipelopori Presiden China, Xi Jinping ketika ini sama dengan konsep Madani di Malaysia.
Beliau berkata, ia seperti komuniti yang berkongsi masa hadapan, inisiatif keselamatan dan peradaban.
“Itulah faktor mengapa kami memilih secara terbuka mengumumkan sokongan kepada China dan kepimpinannya,” jelas beliau.
Pada masa sama, Perdana Menteri menjemput Jinping dan Perdana Menterinya ke Malaysia tahun depan.
Terdahulu, Anwar dan Qiang menyaksikan pemeteraian tiga memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan China, selepas mesyuarat dua hala antara mereka.
Tiga MoU yang dimeterai membabitkan protokol untuk meminda perjanjian bagi memantapkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kerajaan Malaysia dan China, membabitkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari Malaysia dan Kementerian Perdagangan dari China.
Selain itu, pemeteraian MoU berkenaan protokol keperluan fitosanitasi untuk pengeksportan nangka ke China membabitkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dari Malaysia (MAFS) dan Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC).
Seterusnya, MoU melibatkan protokol berkait keperluan kuarantin dan kesihatan untuk import makanan akuakultur dari Malaysia ke China membabitkan MAFS. – UTUSAN