PUTRAJAYA: Media sosial ketika ini sibuk ‘berteka-teki’ mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri sama ada jatuh pada Jumaat atau Sabtu minggu depan.
Namun, di sebalik ‘kekecohan’ itu, dua mod laluan balik kampung iaitu darat dan udara pasti menjadi tumpuan perantau tahun ini.
Berdasarkan data dikongsi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), berlaku lonjakan luar biasa bagi jumlah kenderaan dan penumpang udara pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.
Menurutnya, lonjakan itu berlaku selepas dua tahun perantau tidak dapat pulang beraya di kampung akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mengikut data, bilangan kenderaan melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) meningkat 26.7 peratus pada Mei 2022 berbanding -3.6 peratus pada bulan sebelumnya.
“Malah, lonjakan luar biasa turut dicatatkan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang merekodkan peningkatan 12.7 peratus berbanding 3 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, DOSM berkata, penumpang udara bagi destinasi ke Kota Bharu, Kelantan pula melonjak kepada 50.9 peratus pada Mei 2022 berbanding -25.8 pada bulan sebelumnya.
“Manakala, jumlah penumpang udara ke Kuala Terengganu, Terengganu pula melonjak kepada 55.7 peratus berbanding -15.9 pada bulan sebelumnya,” katanya.
Pada masa sama, katanya, lonjakan turut berlaku bagi penumpang udara di Sabah dan Sarawak iaitu 73.4 peratus bagi Tawau, Kota Kinabalu (70.7 peratus), Kuching (65.9 peratus) dan Sibu (54.2 peratus). – UTUSAN