KOTA TINGGI: Peniaga di Bazar Kota di sini mengeluh apabila jualan pakaian serta kelengkapan menyambut Aidilfitri kurang mendapat sambutan meskipun Ramadan sudah menjengah minggu kedua.
Seorang peniaga, Syarifah Zainab Syed Abdul Karim, 27, berkata, kebiasaannya sepanjang Ramadan jualan pasti mendapat sambutan baik, namun berbeza tahun ini yang nyata perlahan.
Jika dibandingkan pada tahun-tahun sebelumnya, minggu pertama puasa mereka sudah banyak memasukkan semula stok barang yang telah diborong pelanggan.
“Bagi dua minggu pertama Ramadan tahun ini, jualan merosot 60 peratus dan masih jauh daripada sasaran. Biasanya untuk tempoh ini jualan kita amat baik, setiap minggu kami sudah masukkan stok barang dengan banyak tetapi tahun ini nak bawa masuk stok pun takut.
“Faktor kewangan mungkin menjadi penyebab orang tidak berbelanja ditambah pula harga barang sekarang yang meningkat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Syarifah Zainab yang membantu perniagaan ibunya berkata, selama lebih 20 tahun berniaga di situ, Bazar Kota memang menjadi tumpuan orang ramai mencari kelengkapan perayaan ekoran harga yang ditawarkan rendah berbanding di kawasan lain.
Seorang lagi peniaga, Zainab Kasim, 53, memberitahu, dalam tempoh Ramadan ini dia pernah memperoleh jualan hanya RM80 kerana kurang pelanggan.
Katanya, selepas pandemik Covid-19 melanda, kehadiran pelanggan terutamanya dari Singapura amat kurang, sedangkan sebelum ini mereka menjadikan Bazar Kota sebagai lokasi utama untuk membeli-belah.
“Ramadan kali ini rasa seolah-olah seperti hari biasa, tidak seperti tahun sebelumnya, orang yang datang tidak ramai. Sama juga hujung minggu, orang memang ada, tapi mereka tidak berapa berbelanja.
“Mungkin juga disebabkan bertembung dengan sesi persekolahan dan ibu bapa sudah berhabis wang untuk pakaian sekolah baharu anak-anak,” katanya sambil berharap minggu terakhir Ramadan ini membawa rezeki untuk mereka. – UTUSAN