PETALING JAYA: Jualan Khas Syawal Madani yang diadakan bermula hari ini di 113 outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) seluruh negara menawarkan pelbagai barangan pada harga lebih murah sehingga 30 peratus, lebih jimat berbanding pasaran luar.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jualan yang membabitkan Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok (MNS) itu bertujuan meringankan beban khususnya golongan B40 dan M40.
“Ini kerana FAMA di bawah kementerian ini bukan berasaskan keuntungan tetapi lebih kepada berasaskan perkhidmatan dan kita bukan mahu bersaing dengan pasaran luar.
“Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih untuk keperluan hari raya yang turut dijual di outlet pemasaran ini,” katanya selepas melancarkan Program Jualan Syawal Madani Peringkat Kebangsaan di Tapak Pasar Tani Seksyen 6, Kelana Jaya, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamad memberi jaminan bekalan barangan asas seperti telur, ayam dan daging mencukupi menjelang Aidilfitri.
Beliau berkata, kementerian juga akan mengarahkan FAMA untuk memenuhi bekalan telur jika masih tidak mencukupi.
“Bagi telur import kita bincang dari masa ke semasa. Kalau bekalan telur tempatan pula tidak cukup, kita akan buat keputusan segera untuk memenuhi pasaran.
“Jika keadaan meruncing, kita akan import pada bila-bila masa. Kita sudah buat garis panduan untuk import kalau berlaku kekurangan yang ketara,” ujarnya. – UTUSAN