KANGAR: Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba berselindung disebalik kandang lembu bagi melakukan kegiatan penyelewengan minyak diesel tumpas apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri menyerbu sebuah setor haram sekitar kawasan Padang Besar, semalam.
Serbuan menerusi Ops Tiris pada pukul 9.30 pagi itu dilakukan hasil daripada risikan sejak beberapa minggu lalu oleh anggota penguatkuasa KPDN negeri.
Pengarah KPDN negeri, Norazah Jaapar berkata, menerusi pemeriksaan dilakukan di setor terbabit telah membawa kepada penemuan sebanyak 1,200 liter diesel dalam lima tong drum dan satu unit tangki Intermediate Bulk Containers (IBC).
“Sewaktu serbuan, seorang lelaki warga tempatan berumur sekitar 30-an berada di setor terbabit dipercayai penjaga premis itu dan dia juga ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya selepas Program Jualan Rahmah Peringkat Negeri Perlis di NFS AMG Bintong, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Norazah berkata, modus operandi bagi kes tersebut adalah dengan membeli diesel di stesen minyak dalam negeri ini dan kemudiannya dijual kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk membabitkan beberapa barangan di lokasi berkenaan adalah dianggarkan berjumlah RM3,780 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
“KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan dengan tidak terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Program Jualan Rahmah itu, Norazah berkata, inisiatif tersebut akan dilaksanakan bermula pada 16 April sehingga 21 April dengan memberi fokus kepada barangan keperluan bagi persiapan sambutan Aidilfitri.
Katanya, sebanyak 22 barangan keperluan termasuk gula, tepung gandum, minyak masak, beras dan telur ayam terlibat dengan program jualan itu yang menawarkan harga berpatutan dengan diskaun mencecah sehingga 33 peratus.
“KPDN berharap program jualan sebegini dapat membantu meringankan beban rakyat khususnya dalam meraikan sambutan hari raya Aidilfitri beberapa hari sahaja lagi,” katanya.
Tambahnya, tiada sebarang had kuantiti ditetapkan bagi pembelian setiap barangan terlibat kecuali membabitkan barangan kawalan seperti minyak masak.-UTUSAN