GUA MUSANG: Seorang suri rumah dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di sini memanfaatkan masa terluang dengan menghasilkan 9,000 biji kuih akok sepanjang Ramadan dalam usaha mengukuhkan kantung kewangan keluarga.
Nur Aima Nadia Arifin, 31, berkata, setiap hari dia akan menghasilkan 300 biji akok jagung dan akok biasa untuk dijual di sekitar daerah ini termasuk di bazar Ramadan.
Menurutnya, walaupun menghadapi persaingan daripada pengusaha kuih lain, namun sambutan akok jagung dan akok nise laris terjual setiap hari.
“Saya berniaga akok sejak enam tahun lalu dan menghasilkannya pada bulan Ramadan sahaja. Itu sekadar membantu menambah pendapatan keluarga.
“Saya bersyukur apabila kuih akok yang dihasilkan mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Nur Aima Nadia memberitahu, disebabkan tinggal di tingkat satu PPR, dia mengambil inisiatif membakar akok menggunakan pembakar kek cawan seiring perkembangan teknologi pembuatan kuih.
Katanya, setiap hari bermula pukul 7.30 pagi, dia akan membancuh adunan tepung gandum, santan selain tiga papan telur untuk penyediaan akok.
“Akibat persekitaran rumah yang sempit dan tinggal di kawasan rumah bertingkat saya tidak dapat membakar akok seperti penjual akok tradisional lain.
“Kita kena kreatif dan cari bahan untuk gantikan dapur atau sabut kelapa. Saya menggunakan kaedah moden dan tradisional dalam penyediaan kuih kegemaran ramai itu dan dapat mengekalkan tekstur dan rasa seperti akok tradisional lain,” jelasnya.
Menurut Nur Aima Nadia, dia terpaksa menaikkan harga akok daripada 60 sen kepada 80 sen sebiji disebabkan kenaikan kos bahan mentah. – UTUSAN