SEPANG: “Saya belum fikir nak sedia apa-apa juadah raya untuk anak, hanya fikir nak sambut dia sahaja dahulu,” kata Samsiah Misron, 64.
Samsiah adalah ibu kepada salah seorang kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Sudan, Amirul Husni Sahar, 38, yang berjaya dibawa keluar dari Sudan, semalam.
Amirul Husni yang juga Setiausaha 1 Kedutaan Besar Malaysia di Sudan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menerusi penerbangan Saudi Airlines, SV834 kira-kira pukul 4 petang tadi.
Samsiah bersama suami, Sahar Misron, 64, berada di KLIA sejak pukul 2.30 petang tadi bagi menyambut anak menantu dan dua cucunya itu.
Menurutnya, dia akui sangat bersyukur kerana anaknya sekeluarga berjaya dibawa keluar dari negara konflik itu.
“Apabila saya dapat tahu anak saya berjaya dikeluarkan semalam, saya terus batalkan semua kunjungan rumah terbuka dan tidak sabar menunggu ketibaannya.
“Kali terakhir kami bertemu pada 2019 ketika dia (Amirul Husni) bertugas di Riyadh,” katanya.
Katanya, anaknya mula ditugaskan di Sudan sejak Januari lalu dan berada di sana bersama isteri serta dua anak.
Samsiah berkata, dia dimaklumkan menantunya kini sarat mengandung dan ia sekali gus menimbulkan kegusaran buatnya sekeluarga.
“Kami bertambah gusar selepas dimaklumkan, anak saya bersama rakyat Malaysia lain terpaksa menempuh perjalanan lebih 30 jam dari Sudan ke Jeddah membabitkan lebih 1,000 kilometer,” katanya.
Terdahulu, 30 rakyat Malaysia selamat tiba di KLIA dan mereka disambut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Sebelum ini, 30 rakyat Malaysia di Sudan selamat tiba di Jeddah, Arab Saudi kira-kira pukul 1.54 pagi semalam (waktu Malaysia) selepas menempuh perjalanan selama sembilan jam dari Port Sudan dengan menaiki kapal tentera laut diraja Arab Saudi.
Sebelum itu, kesemua mereka juga terpaksa menempuh perjalanan darat sejauh 809 kilometer (km) selama 30 jam dari Khartoum ke Port Sudan dan dari pelabuhan itu ke Jeddah sejauh 297 kilometer.- UTUSAN
habis.