SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengenal pasti 23 kawasan yang kerap berlaku kemalangan jalan raya untuk dipantau sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Kamarunzaman Ahmad berkata, antara lokasi tersebut ialah Lebuhraya Persekutuan, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dan Kilometer (KM) 9 hingga KM 16 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
“Kita dapat maklumat mengenai kawasan kerap kemalangan ini berdasarkan data daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Selain pemantauan, kita juga mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka melakukan kesalahan di bawah bidang undang-undang JPJ,” katanya selepas melancarkan OPS Hari Raya Aidilfitri 2023 (OPS HRA) di Terminal 17 Shah Alam, di sini, hari ini.
Beliau menambah, seramai 325 anggota penguatkuasa JPJ negeri akan melaksankan semua tugas tersebut dalam operasi berkenaan, yang bermula 18 April sehingga 27 April.
“Saya mengalu-alukan orang ramai untuk mengambil gambar dan merakam video sekiranya mereka nampak ada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan. Mereka boleh menghantar gambar dan video tersebut di talian hotline 03-55669442 atau emel [email protected],” ujarnya.
Dalam pada itu, Kamarunzaman memaklumkan kenderaan membawa barangan seperti lori dan traktor tidak dibenarkan menggunakan jalan persekutuan dan negeri di dalam Selangor pada empat hari yang ditetapkan iaitu 20 hingga 21 April dan 24 hingga 25 April. – UTUSAN