BUTTERWORTH: Sebanyak sebelas buah motosikal disita dalam tempoh hanya dua jam dalam operasi sempena Hari Raya Aidilfitri atau Ops HRA oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa berkata, operasi yang dijalankan di lorong motosikal berhampiran Jambatan Pulau Pinang itu bermula pukul 9 pagi dengan kekuatan kira-kira 20 anggota.
Katanya,
“Kita tahan penunggang-penunggang motosikal ini dengan tujuan untuk memberhentikan kesalahan mereka.
“Jadi, apabila mahu menuntut semula motosikal (yang disita), mereka perlu perbaharui cukai jalan dan perlu mempunyai lesen memandu (yang sah),” katanya kepada pemberita ketika meninjau Ops HRA tersebut hari ini.
Dalam pada itu, katanya, JPJ memberi tumpuan terhadap sembilan kesalahan utama dalam Ops HRA termasuk yang turut melibatkan kenderaan lain seperti kereta persendirian dan sebagainya.
Beliau berkata, antara kesalahan itu termasuk memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas (melanggar lampu merah), memotong di garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan.
Kesalahan lain, jelas beliau, adalah seperti memotong barisan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, membawa lebih muatan serta membawa muatan berbahaya.
“Untuk kesalahan seperti penggunaan telefon bimbit ketika memandu, memang sentiasa ada penguatkuasaan dan dalam hal ini, JPJ turut membuat penyamaran bagi mengesan pengguna kenderaan yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
“Insya-Allah, selepas Aidilfitri nanti kita akan tingkatkan penguatkuasaan termasuk berkaitan cermin gelap kerana kita percaya salah satu punca kita sukar mengesan pemandu kenderaan yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu adalah disebabkan oleh penggunaan cermin gelap,” katanya.
Sementara itu, beliau menambah, pihaknya hanya memfokuskan motosikal untuk sekatan jalan raya atau SJR ketika ini khususnya di lorong khas seperti berhampiran plaza tol bagi mengelakkan kesesakan.
“Jika kita buat (SJR) untuk kenderaan lain juga, ia akan menjadi punca kepada kesesakan lalu lintas sedangkan kita nak memudahkan lalu lintas itu.
“Jadi, kita buat rondaan dari semasa ke semasa dan jika kita kesan ada kesalahan, baru kita cuba hentikan kenderaan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN