SUNGAI SIPUT: Pembukaan kaunter pandu lalu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Stesen Penguatkuasa Kuala Kangsar di sini akan memberi manfaat kepada 150,000 rakyat di negeri ini khususnya penduduk di Kuala Kangsar.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, kaunter terbaharu di Perak itu yang keempat selepas kaunter pandu lalu di Sabah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Katanya, empat jenis perkhidmatan ditawarkan menerusi kaunter berkenaan iaitu memperbaharui lesen memandu (LMM) dan lesen kenderaan motor (LKM), pertukaran lesen memandu percubaan dan pembayaran saman terkini.
“Kepadatan penduduk di daerah Kuala Kangsar yang mencapai 150,000 orang menggambarkan keperluan yang tinggi daripada penduduk terhadap keperluan penubuhan cawangan JPJ Kuala Kangsar dan kaunter pandu lalu.
“Pembukaan kaunter pandu lalu ini akan menjadi perkhidmatan tambahan kepada perkhidmatan kaunter sedia ada selain kiosk dan perkhidmatan JPJ Mobile yang disediakan oleh JPJ selama ini,” katanya dalam ucapan pada perasmian Kaunter Pandu Lalu Stesen Penguatkuasa Kuala Kangsar di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JPJ, Mohd. Tarmizi Abd. Talib.
Yang turut hadir, Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Zulqarnain Mohamad.
Sementara itu, Zailani berkata, sehingga Februari lalu, JPJ berjaya mengutip hasil sebanyak RM807 juta dengan Perak merekodkan kutipan hasil melalui kaunter sebanyak RM28.8 juta.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM196,065.10 kutipan melalui kaunter bergerak JPJ Mobile dan RM1.7 juta melalui kiosk fasa tiga.
“Sehingga Mac lalu, JPJ telah merekodkan sebanyak RM35 juta kenderaan terkumpul seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 1 juta kenderaan terkumpul telah direkodkan di negeri Perak.
“Sementara itu, dalam tempoh sama, pemegang lesen memandu aktif terkumpul seluruh negara sebanyak 14.7 juta di mana 530,927 pemegang lesen aktif direkodkan di Perak,” katanya. – UTUSAN