`Joli' wang beli iPhone, wanita didakwa curi kad debit ibu saudara

`Joli’ wang beli iPhone, wanita didakwa curi kad debit ibu saudara

NUR HUMAIRA Shanuk Haziki dibawa oleh pihak polis ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan mencuri kad debit ibu saudaranya. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang tular kerana didakwa mencuri kad debit ibu saudara tirinya dan menyalahguna wang tunai RM8,200 untuk membeli telefon bimbit iPhone 14 Pro, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Nur Humaira Shanuk Haziki, 21, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Majistret Nadia Othman.

Pertuduhan utama, tertuduh didakwa mencuri kad debit kepunyaan Nor Farah Hanim Mohd. Alias serta melakukan capaian tanpa kuasa dengan mengeluarkan wang tunai RM8,200 tanpa pengetahuan ibu saudara tirinya.

Pertuduhan pilihan, Nur Humaira turut didakwa menyalahguna harta iaitu wang tunai dengan jumlah yang sama yang dikeluarkan daripada akaun RHB tanpa pengetahuan wanita itu.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di antara 23 Mac dan 24 Mac lalu di sebuah unit pangsapuri di Chow Kit di sini.

Bagi pertuduhan utama, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum dengan denda maksimum RM150,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan pilihan pula, Nur Humaira didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda dan sebatan.

Nadia membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin serta memerintahkan wanita itu melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan kes itu disebut pada 18 Mei ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Terdahulu, pegawai pendakwa Asisten Supritendan Nom Phot Prackdit tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Nur Humaira.

Tertuduh bagaimanapun memohon jaminan dibenarkan dengan jumlah paling rendah sambil menyatakan dia akan dijamin oleh ahli keluarga.

Nadia: Kesalahan ini serius. Apa alasan kamu untuk mengurangkan jaminan? Kamu ada duit untuk membayar jamin? Umur kamu berapa dan kerja apa?

Nur Humaira: Saya berumur 21 tahun dan tidak buat apa-apa.

Nadia kemudian meminta kepastian sama ada tertuduh boleh mencari dua penjamin untuk memastikan kehadirannya ke mahkamah kelak.

Pada 14 April lalu, media melaporkan seorang wanita ditahan di Pandan Perdana dekat sini selepas disyaki mengeluarkan wang RM8,200 daripada akaun ibu saudaranya untuk membeli telefon pintar iPhone 14 Pro.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita tempatan pada 25 Mac lalu.

Menurutnya, polis menemukan kad ATM milik mangsa dan merampas telefon pintar dipercayai dibeli menggunakan wang yang dicuri.

Kejadian itu didedahkan oleh mangsa menerusi satu hantaran Facebook yang mendakwa suspek mencuri kad ATM berkenaan semasa menumpang tidur di rumahnya. Dalam hantaran itu, mangsa meluahkan perasaan terkilan apabila layanan baik untuk membantu suspek dibalas dengan cara sedemikian lebih-lebih lagi ia berlaku pada minggu pertama Ramadan.

Katanya, dia terkejut apabila akaunnya hanya berbaki RM500 menyebabkan mangsa tidak mampu membayar semua komitmen bulanan termasuk sewa rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya