JOHOR BAHRU: Polis Johor menjangka akan berlaku kesesakan luar biasa di beberapa lokasi seluruh negeri ini sepanjang tempoh musim perayaan Aidilfitri, bermula minggu depan.
Ketuanya, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hal itu ekoran anggaran sebanyak 2 juta kenderaan dijangka akan keluar dan masuk ke negeri ini, termasuk dari negara jiran, Singapura.
Menurut beliau, kesesakan juga dijangka berlaku di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Bangunan Sultan Abu Bakar (KSAB).
“Sempena Aidilfitri minggu depan, kita jangka akan berlaku kesesakan luar biasa di 47 lokasi titik panas melibatkan kawasan bandar antaranya Muar, Batu Pahat, Kulai, Johor Bahru serta kawasan Felda.
“Selain itu, kita juga telah kenal pasti 27 lokasi titik panas kemalangan di seluruh Johor, untuk itu setiap lokasi tersebut kita akan tempatkan anggota untuk mengawal perjalanan trafik,” katanya.
Beliau berkata demikian pemberita selepas melawat program Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di laluan motosikal Plaza Tol Perling, di sini semalam. Turut hadir, Pengarah Perkeso Negeri Johor, Tong Sing Chuang.
Sehubungan itu, Kamarul Zaman mengingatkan pengguna jalan raya untuk bersabar dan mematuhi segala peraturan ditetapkan untuk keselamatan dan keselesaan bersama.
Tambah Kamarul Zaman, walaupun berlaku kesesakan, polis Johor akan memastikan pergerakan trafik lancar dan terkawal.
“Walaupun sesak, kita akan kawal dan pastikan tiada yang melakukan kesalahan jalan raya, terutamanya potong Q, ini kerana pada musim perayaan itu adalah kesalahan utama yang dikesan, jadi mana-mana pihak yang buat salah kita akan saman.
“Dalam tempoh perayaan Aidilfitri ini juga, seramai 700 pegawai dan anggota trafik akan buat pemantauan di jalan-jalan utama seluruh negeri, khususnya di lokasi titik panas disebutkan tadi,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihaknya turut memberitahu akan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan bagi memastikan tiada perbuatan jenayah pecah rumah berlaku ekoran ramai penghuni meninggalkan kediaman untuk pulang beraya.
“Sejak dua minggu lepas, kita dah tingkat rondaan serta membuat sebanyak 24 sekatan jalan raya (SJR) pada waktu malam, untuk mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan jenayah pecah rumah,” tegasnya. – UTUSAN