JKDM kukuhkan kerjasama dengan Kastam Thailand

JKDM kukuhkan kerjasama dengan Kastam Thailand kekang penyeludupan diesel 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan terus bekerjasama dengan Kastam Thailand dalam mengekang sepenuhnya aktiviti penyeludupan minyak diesel ke negara jiran. 

JKDM dalam satu kenyataan berkata, JKDM telah memperketatkan keperluan dokumen yang lengkap terutamanya kes-kes lori yang mengeksport minyak diesel dan petrol bersubsidi. 

Katanya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis yang juga telah mengeluarkan larangan bagi pengisian minyak diesel dan petrol bersubsidi bagi kenderaan berpendaftaran Thailand.

“Bagaimanapun, terdapat inisiatif lain yang mana kenderaan-kenderaan ini hanya dibenarkan mengisi minyak diesel tanpa subsidi di dua stesen minyak sahaja di Perlis iaitu Padang Besar dan Wang Kelian.

“Kastam Thailand juga akan memeriksa mana-mana kenderaan yang masuk atau keluar dari Thailand bagi memastikan tiada tangki tambahan pada kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambahnya, sekiranya terdapat muatan minyak diesel di dalam tangki tambahan tersebut, pihak Kastam Thailand akan merampas selain memotong tangki tersebut.

“Justeru, kita akan terus bekerjasama dengan Kastam Thailand bagi memastikan kenderaan tersebut tidak dibenarkan meneruskan perjalanan dari Thailand.

“Pada masa yang sama, JKDM sedang dalam rangka menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) operasi bersama Kastam Thailand supaya lebih tersusun dan terancang berdasarkan maklumat risikan dan pemantauan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurutnya, sehingga Mac lalu, JKDM berjaya mematahkan empat kes penyeludupan diesel iaitu tiga kes di Perlis dan satu kes di Kedah. 

Jelasnya, jumlah rampasan di Perlis adalah sebanyak 4,340 liter melibatkan nilai rampasan RM9,331 manakala di Kedah sebanyak 83,000 liter dengan nilai RM209,041.

“Kastam juga akan meneruskan tindakan antaranya Sekatan Jalan Raya bagi meningkatkan kesedaran dan mewujudkan unsur kejutan dalam pengoperasian pengimportan dan pengeksportan yang tidak hanya tertumpu kepada komoditi minyak diesel sahaja,” ujarnya. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya