PENYANYI K-pop dari kumpulan sensasi BTS, Jimin mencipta sejarah selepas menjadi artis solo pertama dari Korea Selatan yang menduduki carta teratas muzik Amerika Syarikat (AS) menerusi lagu hits, Like Crazy.
The Guardian melaporkan lagu tersebut menghuni carta pertama dalam senarai Bilboard Hot 100 berdasarkan jualan, rekod semua genre penstriman dan siaran radio.
Single tersebut berjaya menewaskan lagu Flowers nyanyian Miley Cyrus yang menduduki carta pertama selama lapan minggu berturut-turut.
Lagu daripada album solo pertama Jimin, Face adalah lagu ke-66 yang pernah berada di puncak carta Hot 100 yang bermula sejak 1958.
Face juga berjaya menjadi album kedua paling banyak distrim pendengar sekaligus menewaskan anggota BTS lain seperti RM yang menghasilkan album Indigo.
Penyanyi berusia 27 tahun itu meraikan rekod membanggakan itu di Instagram bersama 49 juta pengikutnya.
Untuk rekod, BTS adalah kumpulan dari Korea Selatan pertama yang menduduki tempat teratas carta Billboard pada 2020.
Sebelum BTS mendominasi carta tersebut, penyanyi rap terkenal Korea Selatan, PSY pernah mencetuskan fenomena menerusi lagu hits Gangnam Style yang meraih tempat kedua dalam carta Billboard pada 2012.
BTS merupakan fenomena budaya terbesar di Korea Selatan yang berjaya menjual tiket konsert di stadium seluruh dunia serta mendominasi carta muzik dan meraih keuntungan berbilion-bilion bagi ekonomi negara.
Kumpulan sensasi ini juga berjaya mencipta peminat di peringkat global yang dikenali sebagai ARMY.
Pemerhati industri muzik menyifatkan kejayaan Jimin dengan lagu Like Crazy mencerminkan identiti kumpulan itu di seluruh dunia.
BTS menjadi pembawa obor muzik K-pop di AS dengan beberapa lagu lain turut menjadi hits seperti Dynamite dan Butter.
BTS BEREHAT
Beberapa tahun lalu, BTS yang dianggotai tujuh jejaka iaitu Jin, Jimin, V, RM, Suga, J-Hope dan Jungkook pernah mengambil keputusan untuk berehat panjang bagi meneruskan projek solo mereka.
Tahun lalu, Jin dilaporkan menyertai perkhidmatan mandatori ketenteraan di wilayah Gyeonggi selama lima minggu sebelum dihantar ke unit barisan hadapan tentera.
Kesemua ahli kumpulan itu merancang untuk meneruskan projek individu dan bergabung semula pada 2025 selepas mereka selesai menyertai latihan tersebut.
Korea Selatan mewajibkan kesemua lelaki yang sihat tubuh badan berusia 18 hingga 28 tahun berkhidmat dalam tentera selama 18 hingga 21 bulan.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan atau tempoh perkhidmatan dipendekkan bagi beberapa kategori, termasuk pemenang pingat Sukan Olimpik dan Asia serta penari dan pemuzik yang memenangi kategori utama dalam pertandingan tertentu.
Beberapa penggubal undang-undang juga menggesa BTS dikecualikan daripada perkhidmatan tersebut.
PROFIL:
Nama sebenar: Park Ji Min
Nama pentas: Jimin
Tarikh lahir: 13 Oktober 1995
Tempat lahir: Busan, Korea Selatan
Tinggi: 174 cm
Berat: 58.6 kg
Jenis Darah: A
Warna kegemaran: Biru dan hitam
Nombor kegemaran: Tiga
Pendidikan: Busan High School of Arts, Global Cyber University