GEORGE TOWN: Kualiti udara di Seberang Jaya dekat sini direkodkan pada tahap tidak sihat selepas indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan itu mencecah 151 setakat pukul 10 pagi tadi.
Laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan, IPU di Seberang Jaya kekal merekodkan bacaan tahap tidak sihat sejak pukul 9 malam tadi dan menunjukkan trend menaik pada pagi ini.
IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik, 51 ke 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 ke 300 (sangat tidak sihat) serta 300 dan ke atas (berbahaya).
Setakat pukul 10 pagi tadi juga, stesen bacaan IPU lain di negeri ini turut mencatatkan tahap sederhana, namun menghampiri tidak sihat termasuk di stesen Minden (95); Seberang Perai (91) dan Balik Pulau (82).
Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, fenomena jerebu dijangka lebih serius pada tahun ini berbanding tiga tahun lalu apabila aktiviti perladangan dan industri kembali beroperasi seperti sedia kala. – UTUSAN