Jengkaut, kerja kukuh tebing tanpa lesen cemar bau Sungai Gong - Utusan Malaysia

Jengkaut, kerja kukuh tebing tanpa lesen cemar bau Sungai Gong

Sungai Gong
JENGKAUT itu yang dikesan LUAS di sekitar Sungai Gong, di Rawang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah jengkaut yang menjalankan kerja pengukuhan tebing sungai tanpa kebenaran dipercayai punca pencemaran bau seakan diesel di Sungai Gong, Rawang, semalam.

Perkara itu dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang melakukan pemantauan 24 jam melalui Skuad Pantas, kira-kira pukul 1.30 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, Kod Kuning terpaksa diaktifkan berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air iaitu insiden yang berpotensi menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

“Siasatan LUAS kemudian menemukan sebuah jengkaut yang diletakkan di tebing Sungai Gong dan berdekatan sebuah kilang dan dikenal pasti digunakan bagi kerja pemasangan gabion untuk pengukuhan tebing sungai tanpa kelulusan dan tidak mengikut piawaian kerja sewajarnya.

“Jengkaut itu melakukan kerja dari dalam sungai dan ia kaedah berisiko tinggi mengakibatkan pencemaran seperti tumpahan minyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Loy Sian, pengendali jentera itu diarah mengalihkannya serta merta kerana berpotensi menyebabkan pencemaran dan gangguan operasi empat LRA utama negeri.

“Selain itu, kerja penyemburan menggunakan rawatan biologikal menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) dilakukan di lokasi tersebut. Insiden itu berjaya diatasi dan tiada sebarang gangguan operasi LRA dilaporkan,” ujarnya.

Tambah beliau, LUAS membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 59 (1)(b) Enakmen LUAS 1999 iaitu kesalahan menjalankan aktiviti kemasukan atau pelepasan bahan pencemar tanpa lesen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya