JAS guna dron pantau kawasan kerap berlaku pembakaran terbuka - Utusan Malaysia

JAS guna dron pantau kawasan kerap berlaku pembakaran terbuka

ANTARA kawasan yang dikesan berlaku pembakaran terbuka di Terengganu. - IHSAN JAS 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu menerima sebanyak 50 aduan pembakaran terbuka dalam tempoh tiga bulan pertama pada tahun ini.

Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd. Rahman berkata, jumlah itu agak membimbangkan berbanding 103 aduan pembakaran terbuka yang direkodkan di seluruh negeri sepanjang tahun lalu.

Sehubungan itu, JAS Terengganu telah meningkatkan aktiviti pemantauan dan menggerakkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di peringkat negeri berkuat kuasa sejak 29 Mac lalu.

“Antara langkah kita lakukan ialah meningkatkan rondaan darat dan penggunaan dron untuk memantau  terutama di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti mudah terbakar seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

“Surat arahan juga dikeluarkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertanggungjawab ke atas tapak pelupusan sampah dan pemilik ladang supaya mengambil langkah pencegahan untuk memastikan kawasan seliaan masing-masing tidak terbakar sekaligus mengelakkan kejadian jerebu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, orang ramai perlu lebih berhati-hati kerana negara sedang memasuki fasa peralihan monsun yang menyebabkan negeri-negeri di semenanjung Malaysia mengalami cuaca kering dan panas.

“Amaran keadaan cuaca kering ini telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, jadi saya menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka buat masa sekarang,” katanya.

Tambahnya, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap sesiapa sahaja yang menyebabkan pembakaran terbuka di mana-mana premis. 

Beliau berkata, mana-mana pihak yang gagal mematuhi seksyen tersebut boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya