PETALING JAYA: Pelakon, Shahronizam Noor terpaksa dikejarkan ke Hospital Ampang gara-gara pisaunya tersasar semasa memotong daging ayam, semalam.
Insiden malang yang berlaku selepas mereka sekeluarga selesai berbuka puasa di rumah dimaklumkan oleh anak tirinya, Daniel Hairi.
“Abah pergi dapur sebab nak potong daging ayam sebelum diberikan kepada kucing peliharaan kami.
“Malang tidak berbau, semasa proses penyediaan makanan kucing itu, pisau abah tersasar lalu terkena jari kelingkingnya.
“Melihat jarinya yang terkulai putus, kami bawa abah ke hospital untuk mendapatkan rawatan memandangkan kecederaannya agak parah,” ujar anak penyanyi Safura Yaacob bersama bekas suami terdahulu, Hairi Kool itu.
Tambah Daniel, petugas perubatan pada malam itu berjaya menghentikan pendarahan dan membalut luka tersebut, manakala jari yang putus dimasukkan ke dalam sebuah bekas dan dibekukan.
“Waktu itu doktor pakar tiada. Petugas di situ beritahu, kena tunggu pengesahan doktor pakar sama ada jari tersebut boleh disambungkan balik atau tidak.
“Siang tadi doktor pakar menjelaskan jari itu tidak dapat diselamatkan kerana urat arteri telah putus,” ceritanya.
Mengulas lanjut keadaan pelakon Pontianak Harum Sundal Malam itu, Daniel menjelaskan Shahronizam kini stabil dan sedang berehat sehingga luka dialaminya sembuh.