PETALING JAYA: Anggota kumpulan Mirwana, Hafiz Tamizi berpandangan nasyid tidak boleh dikaitkan dengan sebarang imej agama sekali gus memecahkan stereotaip mengenai muzik yang dipelopori penasyid.
Hafiz yang kini bergerak aktif dengan kumpulan Zawfan menjelaskan nasyid itu adalah sebuah muzik dan bergantung kepada setiap citarasa yang diperjuangkan pelantunnya.
“Nasyid itu bukan agama. Nasyid itu bukan Islam kerana Islam itu penuh kepelbagaian. Tetapi ada golongan ekstrem cakap nasyid mesti seperti Raihan. Tidak boleh begitu mazhabnya.
“Macam orang kaitkan Pas. Sedangkan Pas itu adalah parti bukannya agama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hafiz berkata, sewaktu kemunculan Mirwana dalam industri nasyid tanah air, mereka cuba tampilkan kelainan melalui penampilan dan muzik yang ditampilkan kepada khalayak.
“Masa Mirwana muncul dahulu kami cuba pecahkan tembok sempadan tentang nasyid. Kita langgar nak pula jiwa muda masa itu, bermacam-macam artis kita sudah berkolaborasi dan pelbagai muzik kita hasilkan.
“Kami faham apa yang diperjuangkan dan bukan jumud seperti segelintir orang. Kita pun tiada niat nak ekstremkan nasyid. Semuanya adalah penasyid sebab nasyid itu adalah muzik dan masing-masing bebas bercitarasa,” katanya.