Janaan sampah di Perlis berkurang hampir 100 tan pada Ramadan - Utusan Malaysia

Janaan sampah di Perlis berkurang hampir 100 tan pada Ramadan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) berkenan menyaksikan penyerahan mok cek sumbangan daripada E-Idaman dalam majlis di Pusat Hemodialisis, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis merekodkan pengurangan janaan sampah sekitar 100 tan metrik pada minggu pertama Ramadan kali ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Berdasarkan statistik, jumlah janaan sampah pada minggu pertama Ramadan tahun ini adalah sebanyak 931 tan metrik berbanding 1,049 tan metrik bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Zaki Abdul Aziz Daud berkata, sebagai persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, pihaknya juga akan melaksanakan penambahan khas kutipan sisa pukal dan kebun di taman-taman perumahan yang dikenal pasti menghasilkan lebihan janaan sampah.

“Jadual kutipan sisa juga akan berjalan seperti biasa seperti mana tahun-tahun lepas dan akan dilanjutkan pada malam hari perayaan nanti bagi memastikan kebersihan serta keselesaan orang awam sepanjang tempoh berkenaan,” katanya pada Program Ramadan Kita E-Idaman di Pusat Hemodialisis, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini.

Berangkat sama pada majlis itu, pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turut berkenan mencemar duli bagi meraikan kira-kira 129 pesakit diabetes di pusat hemodialisis berkenaan.

Menerusi program yang turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs), Bernas dan Persatuan Wartawan Perlis (PWP) itu, pesakit terlibat turut menerima sumbangan juadah berbuka, duit raya dan beras daripada E-Idaman dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Dalam perkembangan sama, Zaki berkata, setakat ini, dua Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) yang dibangunkan di negeri ini juga telah berjaya mengumpulkan sebanyak 455 tan metrik barangan kitar semula.

“Berdasarkan jumlah kutipan itu, inisiatif penubuhan DTRC itu dilihat mampu membantu dalam mengurangkan kadar sisa yang dibawa ke tapak pelupusan di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perlis mempunyai sebanyak dua buah DTRC yang dibangunkan di pasar Sena, Kangar pada tahun 2021 dan di Arau pada tahun lalu.

Ujarnya, sehingga kini, DTRC Sena berjaya mengumpulkan sejumlah 430 tan metrik barangan kitar semula manakala DTRC Arau pula berjumlah 25 tan metrik.

“DTRC yang dibina di dua lokasi di negeri Perlis itu memberi fokus kepada pengumpulan barangan yang boleh dikitar semula dan diharap dapat membantu mengurangkan jumlah sampah ke tapak pelupusan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya