Jakim akui situasi hilal Syawal 2022 cuma 50/50 sebelum disahkan

Jakim akui situasi hilal Syawal 2022 cuma 50/50 sebelum disahkan

PROSES cerapan hilal dilakukan setiap akhir bulan hijri melibatkan 29 lokasi ditetapkan di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengakui hanya satu syarat kriteria imkanur rukyah di Labuan yang dipenuhi ketika cerapan hilal Syawal tahun lepas.

Ia melibatkan jarak lengkung bulan dengan matahari ketika itu cuma lima darjah 28 minit berbanding syarat ditetapkan sejak 2021 iaitu mesti tidak kurang enam darjah 24 minit.

Sementara satu lagi syarat iaitu ketinggian anak bulan ketika matahari terbenam ialah lima darjah 27 minit memenuhi syarat yang diputuskan iaitu mestilah tidak kurang tiga darjah.

Walau bagaimanapun kenyataan agensi itu memaklumkan, hasil daripada data tersebut mendapati kedudukan hilal adalah kritikal atau 50/50 untuk dilihat dengan bezanya kecil.

“Secara teknikal, anak bulan tidak memenuhi syarat kriteria namun tempoh cerapan agak lama iaitu 27 minit dan keadaan cuaca baik membantu peluang penampakan,” katanya.

Kenyataan Jakim itu merujuk laporan Utusan Malaysia mengenai tular dakwaan beberapa pakar falak mengatakan Hari Raya Puasa tahun lepas tidak sah kerana ada banyak isu.

Mengulas lanjut, Jakim berkata, umur anak bulan semasa cerapan di Labuan mencecah 15 jam 28 minit menunjukkan lebar sabit hilal telah lebih matang dan peluang adalah positif.

“Disebabkan peluang kenampakan ketika itu pula hanya 50/50, isu tersebut telah segera dibincang dan diberi perhatian oleh Jawatankuasa Falak Wilayah Persekutuan,” katanya.

Ia dipengerusikan sendiri Mufti Wilayah Persekutuan dan laporan di lokasi menunjukkan anak bulan telah berjaya dikesan melalui teleskop oleh salah seorang ahli jawatankuasa.

Malah seorang staf Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di situ turut berjaya mencerap hilal menerusi peralatan teodolit sebelum imej itu disahkan ketua jawatankuasa.

Susulan itu, hasil penampakan dilaporkan kepada Mufti yang pada masa tersebut berada di lokasi cerapan rasmi di Menara Kuala Lumpur dan dibincangkan lagi bersama pakar.

Mereka membandingkan segala data hilal dan memutuskan menerima penampakan anak bulan Syawal itu sebelum Mufti melaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Jakim juga menyangkal laporan kenampakan hilal di Labuan itu tidak direkodkan dan ia dipaparkan menerusi laman sesawang rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar,” katanya.

Sehubungan itu, agensi tersebut meminta semua pihak agar lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan dan tidak mencetuskan sebarang isu polemik kepada masyarakat Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya