PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini tidak perlu bimbang kerana penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri 1443H pada tahun lalu adalah sah dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Malah Setiausaha Jawatankuasa Cerapan Hilal Syawal di Labuan pada 2022, Awangku Bolkhizan Ahmad Thani mengesahkan tiada isu kekhilafan timbul ketika proses tersebut.
Ketika itu, beliau ialah pegawai di Unit Falak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) Cawangan Labuan merupakan individu mengakibatkan berlaku ‘raya terkejut’ tahun lepas.
“Pada masa itu ada seramai 30 orang selaku saksi dan kami semua meluahkan perasaan syukur kerana buat pertama kali dapat lihat anak bulan Syawal muncul tiba-tiba,” katanya.
Beliau yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia mengesahkan demikian pada slot ‘Tanya Jakim’ disiarkan laman sosial agensi itu hari ini.
Ia susulan laporan Utusan Malaysia mengenai tular dakwaan beberapa pakar falak tempatan yang mengatakan Hari Raya Puasa tahun lalu tidak sah kerana ada banyak isu.
Justeru, proses pencerapan hilal Syawal melibatkan 29 lokasi pada minggu depan bakal dilakukan amat ketat dengan jangkaan awal bahawa anak bulan cukup sukar untuk dilihat.
Langkah itu juga ekoran keghairahan segelintir umat Islam di negara ini yang ‘berkempen’ konon Aidilfitri bakal disambut sehari awal dan sekali lagi mengulangi insiden tahun lalu.
Turut serta sesi selama dua jam ini adalah seorang lagi saksi kejadian itu tahun lepas, Nik Abdul Rahman Mustafa yang merupakan Ahli Jawatankuasa Falak Wilayah Persekutuan.
Mengulas lanjut, Awangku Bolkhizan berkata, memang pada mulanya data kiraan hisab menunjukkan kebarangkalian 50:50, tetapi ada analisis lain memberikan hasil sebaliknya.
“Kami mula nampak hilal pukul 6.38 petang, iaitu 10 minit selepas matahari terbenam dan tempoh itu berlaku selama tujuh minit dengan semua saksi turut puas hati,” jelas beliau.
Meskipun stesen cerapan di Labuan merupakan paling awal menghantar laporan terus kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, namun ia tidak ditularkan melalui media sosial supaya tidak mempengaruhi keputusan proses cerapan di Semenanjung Malaysia yang berakhir lewat senja tanpa ada laporan hilal telah pun dikesan.
Perkara ini turut disahkan Nik Abdul Rahman yang dihantar terus dari ibu pejabat PMWP di sini untuk memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) di Labuan dipatuhi.
Bahkan proses penyiapan dibuat beberapa hari awal di lokasi dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, seorang lagi panel, Penolong Pengarah di Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Khairul Anuar Yazid berkata, sesi cerapan amat teliti.
“Kami juga ada rekod rujukan data hilal setiap bulan selama lebih 20 tahun, malah untuk pencerapan minggu depan, persiapan sudah dilakukan hampir setahun lalu,” tegasnya.
Justeru, masyarakat Islam di Malaysia tidak perlu bimbang dengan kesahihan kiraan yang dibuat pihak Jakim kerana ia melibatkan kerjasama ramai pakar falak dan pelbagai agensi. – UTUSAN