Isu permohonan pengampunan Najib bukan pendirian kerajaan

Isu permohonan pengampunan Najib bukan pendirian kerajaan

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pendirian UMNO dan bukan pendirian kerajaan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Sebab itu kita kena bezakan kerana isu itu adalah pendirian UMNO sebagai parti politik, bukan pendirian kerajaan.

“Malah, isu itu juga tidak pernah di bawa oleh menteri-menteri dari UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, permohonan pengampunan boleh dimohon oleh sesiapa sahaja yang disabitkan kesalahan dan ia proses biasa.

Beliau berkata, proses itu adil oleh semua pihak, namun  ia tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong sama ada dibenarkan atau tidak.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk memohon ihsan Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat Najib.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Loke juga mengesahkan Jemaah Menteri juga tidak pernah membincangkan isu surat yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berhubung pelanggaran kod etika membabitkan Datuk Mohd. Nazlan Ghazali.

“Ia tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet, malah mesyuarat Kabinet Rabu ini pun, saya belum tahu apa yang akan dibincangkan lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya