Isteri maut, suami parah kemalangan empat kenderaan  - Utusan Malaysia

Isteri maut, suami parah kemalangan empat kenderaan 

Kemalangan
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa kemalangan itu di Persiaran Mokhtar Dahari berdekatan Kampung Budiman, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang wanita warga emas maut manakala suaminya parah dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari berdekatan Kampung Budiman di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu menimpa Allahyarham Aliah Jaafar, 67, dan Abdul Rashid Md. Nor, 74, yang memandu Proton Savvy.

Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 10.08 pagi.

“Pemeriksaan mendapati kemalangan itu melibatkan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max, Proton Persona dan lori tiga tan. Nahas itu turut menimpa sebuah kereta Savvy yang dinaiki pasangan suami isteri,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelas Morni, kemalangan dipercayai berpunca apabila Isuzu itu melanggar belakang lori lalu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan. 

“Pacuan empat roda yang menuju ke Puncak Alam itu kemudian bertembung dengan dua kenderaan lain. Pemandu Savvy (Abdul Rashid) itu tersepit dan dikeluarkan anggota bomba manakala isterinya (Aliah) disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” ujarnya.

Tambah beliau, pemandu dan penumpang kenderaan lain hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim memberitahu kemalangan dipercayai berpunca daripada pacuan empat roda berkenaan masuk ke laluan bertentangan selepas melanggar sebuah lori.

“Trak pikap  itu hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Savvy. Manakala sebuah kereta lain jenis Proton Persona yang datang dari arah yang sama tidak sempat mengelak sebelum terlanggar tepi kanan trak pikap terbabit,” jelasnya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan menyeru saksi yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya