PETALING JAYA: Isteri kepada penyanyi, Haqiem Rusli, Anis Sofea dilihat memadam banyak gambar dan hanya meninggalkan empat foto yang memperlihatkan dirinya tidak lagi menutup aurat dengan sempurna.
Selain gambar memakai selendang dengan memperlihatkan anak rambut, Anis atau nama sebenarnya Wan Anis Sofea Wan Zamzuri memuat naik gambar hitam putih bersama suaminya yang tidak lagi berhijab.
Anis, 21, turut bertindak menutup ruangan komen dipercayai bagi mengelak diserbu netizen yang keliru dengan tindakannya kerana wanita itu sebelum ini dikenali dengan imej bertudung.
Mei tahun lalu, Anis menerusi ciapan Twitter berkongsi mengenai proses penghijrahan menjadi wanita berhijab dalam tempoh lapan bulan.
Katanya, sepanjang proses itu, dia pernah terlintas di fikiran untuk menanggalkan tudung semula, namun tetap istiqomah menutup aurat.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 19 November 2021 di Cyberjaya selepas dua tahun mengenali hati budi masing-masing.