PETALING JAYA: Sistem Pelesenan Atas Talian (ISPKP) yang dilaksanakan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dilihat bakal meringankan beban pemandu teksi di seluruh negara.
Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Hussain berkata, pihaknya percaya sistem itu bukan sahaja memudahkan ahlinya untuk berurusan dengan APAD bagi proses memperbaharui lesen pengendali, kad pemandu dan sebagainya kerana tidak lagi perlu ke kaunter.
Namun, katanya, sistem itu dapat mengurangkan beban ahlinya kerana mereka dapat mengurangkan kos perjalanan dan kos membeli SSMY MyData bagi tujuan berurusan dengan APAD.
“Tahniah diucapkan kepada (APAD) khusus Ketua Pengarahnya, Datuk Azlan Shah di atas pelaksanaan ISPKP yang telah diperkenalkan bagi memudahkan pemain industri berurusan dengan APAD.
“Selari dengan kemajuan teknologi, kami dari GTSM menyambut baik usaha yang dilakukan oleh APAD,” katanya dalam kenyataan.
Kamarudin berkata, walaupun sistem itu masih dalam diperingkat pembangunan dan agak terlewat dari jadual yang ditetapkan, namun GTSM tetap bersyukur kerana ia bakal memberi banyak manfaat kepada ahli dan seluruh pemain industri pengangkutan serta perkhidmatan awam darat negara.
“Sekali lagi kami mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada APAD, diharapkan lebih banyak agensi-agensi kerajaan membawa perubahan seperti yang dilakukan oleh APAD,” ujarnya. – UTUSAN