TAK lengkap sambutan Hari Raya Aidilfitri tanpa iklan raya. Tahun ini, boleh dikatakan setiap iklan raya yang dipersembahkan mempunyai jalan cerita dan konsep berbeza.
Ada elemen drama, sinikal dan seram yang menghiasi setiap naskhah serta barisan pelakon handalan yang membintangi setiap iklan.
Jumlah tontonan di platform media sosial boleh menjadi kayu pengukur kejayaan sesebuah iklan yang dihasilkan.
Berikut ditampilkan lima iklan raya 2023 yang sudah mencecah jutaan tontonan.
Watsons Raya 2023: Rahsia Gaya Raya
Iklan raya ini dibarisi selebriti popular seperti Ayda Jebat sebagai Divatektif, Nabil Mahir (Suami Sidekick), Didie Alias (Mak Bling Bling) dan Faizal Hussein (Uncle Mata-Mata).
Watsons membawakan sebuah kisah raya penuh misteri. Siapakah suspek sebenar dalam kehilangan harta turun-temurun keluarga Ayda?
Sehingga kini, jumlah tontonan iklan ini sudah mencecah 8.4 juta di YouTube.
Petronas Raya 2023: Dilema Irama
Bertemakan Akar Untuk Masa Depan, filem sempena Aidilfitri tahun ini menampilkan konflik pertembungan irama dua generasi.
Pergeseran tercetus antara Man Gambus dan anaknya, Nadim apabila Nadim dengan berat hati telah bersetuju untuk bermain gambus di dalam kumpulan muzik tradisional bapanya di sebuah majlis berbuka puasa.
Namun, persembahan itu berakhir dengan persengketaan antara mereka berdua.
Iklan raya Petronas kali ini disifatkan lain daripada yang lain sehingga jumlah tontonan mencecah 6.2 juta di YouTube.
Etiqa Takaful Raya 2023: Panorama Abah Den
Selain pelakon handalan seperti Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Iedil Dzuhrie Alaudin, iklan ini menceritakan suasana rumah orang tua-tua dan anak-anak yatim ketika sambutan Hari Raya.
Dengan penggunaan loghat Negeri Sembilan, iklan ini juga tentang keterujaan seorang bapa yang mahu melihat keindahan dan kecanggihan bangunan yang terdapat di Kuala Lumpur.
Setiap penjuru kawasan, dia akan merakam video-video menarik bertujuan untuk dipertontonkan kepada penghuni rumah tersebut di kampungnya.
Iklan ini juga mengangkat tema berkongsi kemeriahan raya dengan insan tersayang dan berjaya mencatatkan tontonan 4.1 juta di YouTube.
Iklan Raya 2023 Takaful Malaysia: Al Kisah Malam Raya
Membariskan pelakon handalan seperti Ropie Cecupak dan Amy Mastura, ramai yang memuji keserasian antara kedua-dua pelakon tersebut serta jalan cerita naskhah ini seperti sebuah cerita seram.
Iklan ini mengisahkan perjalanan pulang ke kampung halaman pasangan suami isteri untuk menyambut Hari Raya.
Dalam perjalanan, kereta yang dinaiki mereka rosak dan dikejutkan dengan ‘tetamu’ yang tidak diundang iaitu pontianak lakonan Maya Karin.
Pasangan suami isteri itu akhirnya mendapat bantuan daripada ejen Takaful Malaysia lakonan Usof Wilcha.
Sehingga kini, jumlah tontonan sudah mencecah 3.39 juta di YouTube.
Bulan Bintang Raya 2023: Raya Macam Star
Mengisahkan Zul yang mengadakan rumah terbuka Aidilfitri untuk bertemu dan menawan Hannah, gadis cantik di kampungnya.
Iklan jenama baju Melayu terkenal ini mempertaruhkan pelakon popular seperti Shukri Yahaya, Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad dan Hannah Delisha.
Ramai memuji iklan raya ini yang dikatakan luar dari kotak. Bukan sahaja buat air mata meleleh, tetapi iklan ini berjaya membuatkan penonton tersengih-sengih pada setiap babak.
Semua watak memainkan peranan mereka tersendiri termasuk orang kampung. Iklan ini berjaya menawan hati 1.5 juta penonton di YouTube.