Iklan raya kena cetuskan nostalgia - Sabri Yunus - Utusan Malaysia

Iklan raya kena cetuskan nostalgia – Sabri Yunus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah disegani, Sabri Yunus, 61, berpendapat jalan cerita iklan Hari Raya Aidilfitri perlu diisi dengan kandungan yang sinonim dengan jiwa penonton yang merayakan perayaan tersebut.

Sabri yang merupakan pengarah filem pendek Hari Raya berjudul Fitrah terbitan Bank Rakyat berkata, perkara itu penting agar iklan yang disajikan memberi impak dan meninggalkan rasa yang sepatutnya dirasakan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Contoh, iklan Hari Raya dihasilkan Allahyarham Yasmin Ahmad yang pada saya berjaya mengembalikan nostalgia ketika Hari Raya.

“Elemen rendang, ketupat, balik kampung dan sebagainya itu sinonim dengan masyarakat kita. Jadi mereka dapatkan rasakan nostalgia itu ketika menonton iklan berkenaan.

“Tak salah untuk berkreativiti atau mengupas jalan cerita yang diluar kotak. Tapi biarlah elemen nostalgia Hari Raya itu dirasakan penonton saat menonton iklan yang dihasilkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Fitrah merupakan filem pendek Hari Raya pertama yang diarahkan Sabri.

Ia menceritakan tentang tindakan anak (Ismail), membawa isteri dan keluarga pindah ke kota meninggalkan bapa di kampung demi mengejar cita-cita menjadi usahawan berjaya.

Perniagaan maju dan membuahkan hasil, Ismail tidak pernah lupa mengirim wang kepada bapanya setiap bulan. Bahkan, pandemik yang melanda dan menjejaskan perniagaannya tidak menghalang untuk Ismail terus menjalankan tanggungjawab sebagai anak, menghantar wang kepada bapanya meskipun jumlahnya berkurangan.

Kata Sabri, masa yang singkat antara cabaran yang dilalui ketika menghasilkan filem pendek berkenaan.

“Iklan raya ini tak panjang. Ibarat tulis sajak atau cerpen. Hanya beberapa minit.

“Jadi, bukan senang untuk buat penggambaran dua hari dan rangkumkan semua ke dalam sebuah filem pendek berdurasi enam minit,” ujarnya.

Disoal tentang pelakon, Megat Adli membawa peranan Ismail, kata Sabri pemilihannya adalah tepat untuk watak tersebut.

“Saya pun tidak kenal dia sebelum ini. Tapi dia berbakat dan ada pengalaman serta berani.

“Untuk develope lagi bakat dia dalam masa dua hari tak cukup. Tapi dia pelakon yang bagus,” katanya lagi.

Filem pendek Fitrah telah mula ditayangkan di saluran Youtube Bank Rakyat sejak 11 hari yang lalu dan kini mencapai 50,000 jumlah tontonan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya