HULU TERENGGANU: Ikan seluang panggang merupakan antara menu istimewa menjadi tarikan pengunjung di Bazar Ramadan Kuala Ping di sini.
Tinjauan mendapati, kira-kira tiga peniaga menjual menu tradisi masyarakat setempat itu yang enak dinikmati bersama budu sebagai juadah berbuka.
Seorang peniaga, Siti Fauziah Abdul Kadir, 60, dari Kampung Kuala Ping berkata, menu istimewa itu yang semakin sukar ditemukan dijual RM5 bagi setiap cucuk yang punyai 13 hingga 15 ekor ikan seluang bergantung kepada saiz.
“Saya berniaga seluang panggang ini pada setiap Ramadan sejak lebih 30 tahun lalu dan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Siti Fauziah memberitahu, anak-anaknya membantu menangkap ikan seluang di Sungai Telemong di sini, namun tangkapan ikan tersebut tidak menentu.
“Kebiasaannya setiap hari saya cuma dapat sediakan antara 15 hingga 20 cucuk untuk dijual, selain itu turut menjual makanan lain termasuk lemang,” katanya.
Tambah nenek 13 cucu ini, lazimnya menu istimewa itu habis dijual sebelum pukul 6 petang dan majoriti penggemar ikan seluang panggang adalah mereka yang agak berusia.
Seorang lagi peniaga, Siti Zaleha Ismail, 42, dari Kampung Pasir Simpul berkata, dia menjual ikan seluang panggang sebanyak antara 30 hingga 40 cucuk dan habis dijual pada setiap hari.
Menurutnya, ada dalam kalangan pelanggan datang dari luar daerah hanya semata-mata ingin dapatkan menu ikan seluang panggang selain aneka lauk-pauk juadah kampung yang dijual di bazar Ramadan ini.
“Rasa ikan seluang yang manis bangkitkan lagi selera makan, ditambah pula apabila dinikmatinya bersama budu. Selain itu boleh juga diletak dalam nasi ulam,” jelasnya. – UTUSAN