Penyanyi, Haziq Rosebi berazam untuk terus menyanyikan lagu Datuk Ahmad Jais bagi memastikan legasi penyanyi lagu Selamat Hari Raya, Fatwa Pujangga dan Umpan Jinak Di Air Tenang itu terus diingati peminat.
Menurutnya yang berada di tahun akhir kursus Ijazah Sarjana Muda Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM), walaupun peminat sering membandingkan suaranya dengan arwah, beliau menganggap ia satu tanggungjawab yang perlu dipikul untuk meneruskan legasi lagu allahyarham.
“Saya tidak merasakan saya pengganti arwah, saya cuma menyambung legasi lagu lama allahyarham yang ramai orang lupakan dan tinggalkan.
“Saya berasa bertanggungjawab menaikkan balik lagu allahyarham dengan mengekalkan keaslian dan mengekalkan kesedapannya, insha’Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Plaza Shah Alam sempena promosi raya di sini baru-baru ini.
Haziq berkata, selain dirinya ada penyanyi lain yang mirip suara Ahmad Jais maka bukan isu besar jika beliau menyanyikan lagu allahyarham.
“Apa yang penting legasi lagu lama tradisi yang dipopularkan oleh artis-artis lama akan saya teruskan.
“Tidak lama lagi Aidilfitri akan tiba, yang mana lagu lama bertema hari raya akan kembali diputarkan,”ujarnya.
Jelasnya yang menyanyikan semula lagu Lemak Manis dendangan Roslan Madun di aplikasi Tik Tok dan You Tube, trend penyanyi menyanyikan lagu penyanyi lain bukan untuk bersaing tetapi menguji kemampuan diri.
Mengulas mengenai lagu raya lama yang dinyanyikan semula artis baharu, beliau berharap rentak lagu tersebut terus dikekalkan seperti asal.
“Saya beranggapan lagu raya sesuai dinyanyikan dengan rentak asli tradisional seperti zapin,joget dan inang.
“Hari ini lagu raya sudah menjadi terlebih moden hingga sudah tidak menjadi macam suasana hari raya. Jadi lagu raya biarlah dalam rentak asli dan inang,”katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu akan mengeluarkan lagu raya berentak nasyid dan inang bersama Munif Hijjaz yang mana video klipnya sudah dirakam dua hari lepas.
Jelasnya lagi,lagu bertajuk Raya Dah Tiba tersebut akan dilancarkan pada 14 April ini.
“Lagu tersebut sangat menarik dan perlu didengari oleh kesemua peminat,”ujarnya.
Haziq memberitahu, kolaborasi dirinya bersama kumpulan nasyid adalah untuk memastikan perjalanan karier tidak terikat dengan satu genre semata-mata tetapi perlu mencabar diri untuk mencuba genre berbeza.
Bercerita tentang aktiviti sepanjang bulan Ramadan Haziq berkata, beliau akan mengadakan persembahan di Sarawak tidak lama lagi.
Jelasnya lagi, sejak keluar daripada Akademi Fantasia, rezeki di dalam bidang nyanyian tidak pernah terhenti.
“Akademi Fantasia 4 membuka peluang untuk saya dikenali sebagai seorang penyanyi irama Asli sehingga kini.
“Segala jasa dan tunjuk ajar guru dan peluang yang diberi pihak Astro tetap saya harga selama-selamanya,”jelasnya.