ARAU: Menjelang beberapa hari sambutan Aidilfitri, seramai 150 penduduk mengambil inisiatif bergotong-royong menganyam dan merebus ketupat daun palas sebagai persediaan meraikan perayaan itu.
Projek Balut Ketupat anjuran UMNO Bahagian Arau dengan kerjasama Wanita UMNO Bahagian Arau itu yang bermula pada pukul 8 pagi telah berjaya menghasilkan sebanyak 3,000 biji ketupat daun palas.
Turut sama, Geraknita Alumni 4B Perlis.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Rozieana Ahmad berkata, sebanyak 100 kilogram beras pulut diperuntukkan bagi menyediakan juadah tradisi itu sebagai persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi.
“Kami menyediakan juadah ini secara bergotong-royong di mana bermula dengan bersama-sama membuka daun palas sehinggalah ke proses merebus ketupat ini.
“Sebanyak empat periuk besar digunakan bagi merebus ketupat daun palas menerusi projek yang dijalankan ini,” katanya di sini hari ini.
Di samping itu, Rozieana berkata, ketupat-ketupat yang dihasilkan itu akan diagihkan kepada penaja barangan dalam kalangan UMNO Bahagian ini, para petugas dan komuniti setempat di sekitar kawasan berkenaan.
Katanya, program itu bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim namun dalam masa sama turut bertujuan bagi menyuburkan aktiviti tradisi tersebut yang menjadi kelaziman setiap musim perayaan Aidilfitri.
“Sambutan yang diterima menerusi penganjuran program ini juga amat baik dan semua pihak turut memberi komitmen masing-masing,” katanya.
Tambahnya, selain penyediaan ketupat, seramai 30 orang kurang berkemampuan sekitar kawasan itu turut menerima sumbangan baju raya terpakai.
“Dengan pemberian ini diharap sekurang-kurangnya dapat memberi kemeriahan kepada pihak terlibat untuk bersama-sama meraikan Syawal kali ini,” katanya.-UTUSAN