Hartal Doktor Kontrak jumpa Menteri Kesihatan esok, serah memorandum  - Utusan Malaysia

Hartal Doktor Kontrak jumpa Menteri Kesihatan esok, serah memorandum 

Seramai 422 pegawai perubatan lantikan kontrak akan melengkapkan tempoh maksimum kontrak tujuh tahun pada bulan ini hingga November tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan Hartal Doktor Kontrak akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, pukul 5.30 petang esok.

Menurut jurucakapnya, Dr. Muhammad Yassin, pertemuan itu supaya kerajaan memasukkan wakil Hartal Doktor Kontrak ke dalam Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang ditubuhkan baru-baru ini bagi menangani isu perjawatan doktor kontrak.

Pada pertemuan itu, pihak Hartal Doktor Kontrak akan menyerahkan memorandum kepada Zaliha namun tidak menjelaskan lebih lanjut perkara yang terkandung di dalamnya.

“Memorandum ini untuk meminta supaya Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang ditubuhkan baru-baru ini turut diwakili oleh Hartal Doktor Kontrak.

“Memorandum ini akan diberi kepada pihak media selepas pertemuan dengan menteri nanti.

“Kami mahu supaya ada wakil dalam jawatankuasa kerana sehingga kini tiada sebarang pengumuman daripada kerajaan. Kami juga akan menyuarakan tuntutan-tuntutan lain seperti penubuhan Suruhanjaya Kesihatan,” katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia.

Pada 1 April lalu, Kabinet bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menjadi topik hangat dalam negara ketika ini.

Zaliha berkata, persetujuan itu dicapai Jemaah Menteri dengan jawatankuasa itu akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi, termasuk membabitkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ini susulan sebuah kumpulan yang mendakwa diri sebagai Mogok Doktor Malaysia melakukan mogok dengan tidak hadir bekerja selama tiga hari bermula 3 April lalu.

Malah kumpulan itu mendakwa sistem perkhidmatan kesihatan negara akan lumpuh sepenuhnya sepanjang tiga hari mogok dijalankan.

Bagaimanapun mogok itu dilaporkan tidak mendapat sambutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN