PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menzahirkan penghargaan kepada seluruh pekerja di negara ini sempena Hari Pekerja esok, sambil menyifatkan mereka merupakan satu aset kepada mana-mana organisasi dan negara.
Selain itu, MEF juga mengiktiraf sumbangan pekerja dalam membina industri dan negara.
Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, keamanan dan keharmonian dalam industri pada masa kini perlu dikekalkan dalam menuju ke arah negara maju.
“MEF mengucapkan terima kasih kepada pekerja dan Kesatuan Sekerja atas persefahaman dan kerjasama yang ditunjukkan ketika masa yang mencabar akibat pandemik Covid-19.
“Keamanan dan keharmonian dalam industri yang dikekalkan itu merupakan satu asas yang betul untuk ekonomi pulih lebih cepat dan lebih baik.
“Pekerja, majikan dan kerajaan mesti bekerjasama untuk memberikan yang terbaik untuk apa-apa tugas yang diberikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Syed Hussain berkata, mana-mana majikan juga disarankan untuk sentiasa menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat kepada pekerja mereka.
Malah katanya, majikan juga mesti memastikan pekerja terlatih dan mahir untuk melakukan kerja mereka.
“Kita mesti memastikan gaji dan faedah selaras dengan kadar pasaran dan risiko, tanggungjawab dan akauntabiliti pekerjaan.
“Ia adalah penting majikan mesti menyediakan perkembangan kerjaya dalam jangka masa panjang. Ini akan membantu majikan dalam menarik dan mengekalkan bakat untuk organisasi mereka,” katanya.
Beliau menambah, majikan juga perlu mempunyai berdisiplin dalam mewujudkan amalan tempat kerja yang adil dan bertanggungjawab.
“Mesti tidak ada diskriminasi di tempat kerja dan semua pekerja dilayan secara adil dan secara saksama.
“Keupayaan pekerja untuk melaksanakan mesti diiktiraf dan diberi ganjaran berdasarkan merit,” katanya. – UTUSAN