PETALING JAYA: Harga kediaman berharga RM500,000 ke atas dijangka meningkat sebanyak 25 peratus pada pertengahan tahun ini kerana beberapa faktor termasuk keadaan ekonomi negara semakin pulih ekoran kestabilan politik dikecapi negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Selain itu, pengumuman Belanjawan 2023 pada 13 Februari lalu di samping peningkatan pelaburan asing khususnya dari China mendorong pertumbuhan ekonomi selepas tiga tahun terkesan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun peningkatan harga itu dijangka tidak melibatkan rumah mampu milik atau berharga RM300,000 ke bawah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama), Prof. Dr. Ismail Omar berkata, kini masa sesuai untuk orang ramai membeli rumah kerana harga kediaman masih rendah.
Katanya, pemaju dan pemilik projek terpaksa menjual pada kadar nilai lebih rendah pada waktu ini bagi mengelakkan lambakan ekoran orang ramai dilihat berhati-hati melakukan pembelian.
Katanya, bank dan institusi kewangan kini dilihat bersedia menawarkan dan permudahkan proses pinjaman kepada pembeli sekali gus boleh menyebabkan wujud peningkatan permintaan dan penawaran memiliki kediaman.
“Khususnya membabitkan rumah berharga atas RM500,000 yang banyak tidak terjual apabila pembeli lebih untuk membeli kediaman bawah RM300,000. Jadi pemaju atau pemilik terpaksa jual dengan kadar lebih rendah bagi mengelakkan daripada langsung tidak terjual.
“Namun keadaan ini hanyalah sementara, memandangkan ekonomi Malaysia semakin pulih maka pasaran rumah dijangka kembali stabil dengan berlaku peningkatan harga sekitar 25 peratus. Maka ada pihak sedar perkara ini, mereka berebut beli rumah sekarang kerana harga sudah jatuh sebelum nilainya meningkat,” katanya ketika dihubungi.
Akhbar ini pernah melaporkan prospek hartanah bukan sahaja boleh jatuh 25 peratus malah berdepan masalah lambakan kediaman tidak terjual atau overhang jika isu permohonan pinjaman institusi kewangan yang merosot sejak lima bulan lalu kerana kos pembiayaan lebih tinggi tidak ditangani segera.
Malah berdasarkan data yang diterima daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), bagi data awalan suku ketiga tahun 2022 (Q3P 2023) rumah siap dibina tidak terjual adalah 76 peratus berharga RM300,000 dan ke atas dan 24 peratus RM300,000 dan ke bawah.
Dalam pada itu, Ismail berpandangan, penurunan permohonan pinjaman boleh menstabilkan semula isu lambakan kediaman tidak dijual dan peningkatan harga rumah yang terjadi sejak kebelakangan ini apabila semua pihak termasuk institusi kewangan mengambil langkah untuk mengelakkan lambakan kediaman di pasaran.
“Mungkin bank akan mempermudah pembiayaan kewangan manakala pemaju pula mengambil langkah tidak menaikkan harga rumah danpengeluar bahan binaan menjual bahan dengan harga tidak terlalu tinggi,” katanya.
Kata Ismail yang juga Naib Canselor Universiti Geomatika Malaysia, kerajaan perlu memantau situasi semasa harga rumah bagi mengelakkan nilai melambung tinggi sehingga menyukarkan orang ramai membeli kediaman dan akhirnya mengulangi masalah lambakan kediaman tidak terjual atau overhang.
Jelas beliau, pihak berwajib perlu memperbanyak kaedah pemilikan pembelian kediaman bagi mengelakkan masalah lambakan rumah tidak terjual khususnya ketika masalah permohonan pinjaman daripada institusi kewangan yang merosot sejak lima bulan lalu.
Kata beliau, antara mekanisme terbaik bagi menggalakkan rakyat membeli rumah adalah menerusi kaedah sewa kepada golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah tanpa bebanan pinjaman yang menyukarkan mereka melakukan pinjaman. – UTUSAN