PUTRAJAYA: Harga minyak masak tulen kemasan botol kekal bagi tempoh mulai 8 April hingga 7 Mei ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan memaklumkan, harga runcit maksimum yang ditetapkan adalah RM6. 90 bagi botol 1 kilogram (kg), RM13. 30 (2 kg), RM19.60 (3 kg) dan 30.90 (5 kg).
Menurutnya, secara umum, terdapat kenaikan harga minyak sawit mentah untuk bulan Mac berbanding bulan sebelumnya yang melepasi RM4,000 per tan metrik.
“Purata harga Minyak Sawit Mentah untuk bulan Mac adalah RM 4,139 per tan matrik berbanding RM 3,908 per tan matrik pada bulan Februari.
“Kenaikan ini sekali gus akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen kemasan botol berdasarkan kepada konsep harga siling bergerak.
“Bagaimanapun, bagi mengelakkan bebanan kepada rakyat dan pengguna, kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga runcit minyak masak sawit tulen untuk tempoh sebulan,” katanya.
KPDN berkata, pengekalan harga runcit minyak masak sawit kemasan botol ini melibatkan pembayaran subsidi kepada pengilang-pengilang penapis secara tuntutan bayaran balik berdasarkan bilangan tuntutan sebenar.
Jelasnya lagi, KPDN akan terus membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga bagi memastikan sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak terjejas.
Dalam pada itu, KPDN berkata, mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksima boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.
“KPDN akan meneruskan pemantauan disamping turut menggalakkan pengguna agar menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran harga runcit minyak masak,” katanya.- UTUSAN