Harga maksimum 30 barang asas diumum minggu depan - Utusan Malaysia

Harga maksimum 30 barang asas diumum minggu depan

Harga barang
SALAHUDDIN Ayub dalam sidang akhbar selepas menghadiri Walkabout Bazar Ramadan Dataran Eco Grandeur Park, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menyenaraikan harga maksimum 30 barangan kawalan sempena musim sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Harga kawalan barangan itu merangkumi barangan makanan asas seperti ayam dan daging serta keperluan untuk membuat kuih raya termasuk telur, marjerin dan sebagainya.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau akan membuat pengumuman itu pada 13 April ini termasuk tempoh penguatkuasaan kawalannya.

“Pada 13 April, saya akan umumkan harga maksimum 30 barang, itu termasuklah barang-barang yang penting untuk persediaan membuat kuih raya. Ayam (kini) tetap jual pada harga siling, kita tidak naikkan, hatta minyak masak botol pun semalam kita sudah buat keputusan sama.

“Kawalannya, kita buat tujuh hari sebelum dua hari raya dan tujuh hari selepas (tujuh, dua, tujuh). Kita akan umum minggu depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai Walkabout Bazar Ramadan Dataran Eco Grandeur Park di Puncak Alam, hari ini.

Terdahulu, beliau mengumumkan harga runcit minyak masak sawit tulen botol satu hingga lima kilogram tidak akan dinaikkan bagi tempoh 8 April hingga 7 Mei ini.

Menurutnya, minyak masak kelapa sawit tulen botol kekal pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg) RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) bagi memastikan sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak terjejas dengan isu kenaikan harga yang tidak munasabah.

Dalam pada itu, Salahuddin turut memaklumkan sembilan pasar raya besar yang menyerai Jualan Rahmah menawarkan barangan asas termasuk untuk membuat kuih raya pada harga murah terutama sepanjang musim perayaan ini.

“Walaupun belum diumumkan harga maksimum itu, kalau pergi ke pasar raya besar yang terpilih dan mengadakan jualan rahmah, saya nasihatkan pengguna atau pengusaha kuih raya supaya pergi ke sana kerana jualannya memang rahmah (murah).

Contohnya, bahan asas seperti marjerin dijual lebih murah berbanding tempat lain. Komponen kuih yang paling penting adalah telur, setakat ini jaminan yang diberikan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) mencukupi. Itu tidak perlu dibimbangi. Kita pantau setiap hari,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya