SUNGAI PETANI: Kebanyakkan peniaga bazar Ramadan di negeri ini masih menawarkan harga makanan yang munasabah dan berpatutan untuk pengguna membeli juadah berbuka puasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Affendi Rajini Kanth berkata, ini berdasarkan operasi dan pemantauan yang dilakukan oleh pihaknya sejak hari pertama Ramadan sehingga semalam.
Menurutnya, rata-rata peniaga di bazar Ramadan menawarkan harga tersebut meskipun mereka tidak mendaftar dengan KPDN sebagai peniaga menu Rahmah.
“Sejak Ramadan pertama hingga ke hari ini juga kita belum menerima walaupun satu aduan berkaitan harga atau kualiti makanan di bazar-bazar Ramadan dan ini merupakan satu petanda baik.
“Selain itu, berdasarkan laporan dan pemeriksaan di bazar Ramadan di semua daerah di negeri ini juga menunjukkan tiada sebarang tangkapan atau notis yang dikenakan kepada peniaga makanan. Kita harap situasi ini berterusan sehingga akhir Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelab Berenang Rahmah di Kelab Sungai Petani, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Akuatik Sungai Petani, Dr. Sritharan Rao berkata, pihaknya dengan kerjasama Kelab Sungai Petani mengambil inisiatif memperkenalkan konsep Rahmah untuk aktiviti sukan renang.
Beliau berkata, program itu terbuka untuk pelajar dan murid sekolah berusia lingkungan enam hingga 17 tahun yang telah mendaftar sebagai ahli Kelab Akuatik Sungai Petani dengan yuran sebanyak RM90 sebulan.
“Kanak-kanak yang mendaftar hanya perlu bayar serendah RM5 sebagai bayaran kolam renang berbanding RM6.50 sebelum ini. Mereka akan dapat mempelajari teknik berenang dengan jurulatih bertauliah mengikut slot masa disediakan iaitu setiap Rabu hingga Ahad,” katanya. –UTUSAN