PUTRAJAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memutuskan had usia penggunaan kenderaan bagi teksi dan e-hailing dilanjutkan sehingga 15 tahun bermula hari ini.
APAD menerusi kenyataan hari ini berkata, lanjutan had usia itu berbanding 10 tahun sebelum ini dibuat selari dengan hasrat Kementerian Pengangkutan mahu menambah baik sistem pengangkutan awam negara.
Menurutnya, had baharu usia teksi dan e-hailing itu terpakai bagi kedua-dua kelas kenderaan e-hailing di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Bagaimanapun, ada tiga syarat perlu dipatuhi iaitu perlanjutan terpakai bagi kenderaan dalam kelas lesen teksi dan e-hailing yang mencapai had usia maksimum dalam tempoh bermula 1 Januari 2023.
“Selain itu, semua kenderaan yang akan diberi kelulusan perlu mematuhi dan melepasi semua syarat pemeriksaan berkala wajib Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.
Dalam pada itu, APAD memaklumkan, syarat lain termasuk mematuhi syarat operasi yang ditetapkan bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan, keselesaan pengguna dan imej industri ini terjamin.
Katanya, APAD berharap peserta industri teksi dan e-hailing dapat meningkatkan mutu perkhidmatan yang mampu dijadikan mod pilihan rakyat yang diyakini dan berkualiti. – UTUSAN