Guna Sistem GeoTanaman elak lambakan hasil tanaman

Guna Sistem GeoTanaman elak lambakan hasil tanaman

SISTEM GeoTanaman menyediakan langkah intervensi jangka panjang sebagai solusi kepada isu lambakan tanaman. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Petani di negara ini disaran mengguna pakai Sistem GeoTanaman yang dibangunkan Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) bagi merancang penjadualan tanaman makanan mengikut pemintaan dan penawaran.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Zahimi Hassan berkata, sistem itu menyediakan langkah intervensi jangka panjang sebagai solusi kepada isu lambakan tanaman yang kerap dihadapi petani.

Beliau berkata, sistem yang dibangunkan sejak 2022 itu dapat membantu pengusaha mengurangkan lambakan hasil melalui padanan pasaran secara e-dagang secara terus dengan pemborong.

“Kami sedia maklum mengenai laporan akhbar dan media sosial berhubung tindakan petani di Lojing, Kelantan dan Cameron Highlands, Pahang yang terpaksa membuang hasil tanaman yang telah dituai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, menerusi sistem itu, pemborong atau peruncit dapat mengenal pasti secara spesifik lokasi kebun dan menghantar notifikasi berkaitan perkhidmatan diperlukan melalui telefon mudah alih yang didaftarkan.

Zahimi berkata, pihaknya memohon kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dalam industri agromakanan terutama petani, pemborong dan pembekal input pertanian untuk mendaftar secara percuma di Sistem GeoTanaman (https://geotanaman.doa.gov.my).

Menurutnya, pendaftaran itu penting bagi memastikan ketersediaan input pertanian dan maklumat pengeluaran tanaman makanan dapat disediakan secara masa nyata (real time) dan seterusnya mampu mengatasi isu lambakan hasil tanaman.

“Petani juga disaran melaksanakan Amalan Pertanian Baik dengan memohon pensijilan myGAP dan merancang penjadualan penanaman mengikut kehendak pasaran bagi memastikan hasil tanaman yang berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran dapat dihasilkan.

“Kami sentiasa fokus bagi memastikan pengeluaran makanan negara adalah berkualiti, selamat dan mencukupi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 500 pekebun di Tanah Tinggi Lojing terpaksa membuang ribuan tan sayur yang tidak terjual selepas mendakwa terdapat lambakan bekalan sayur import dari luar negara.

Difahamkan, masalah itu berlaku apabila pengeluaran sayur tempatan kini meningkat selepas berakhir musim tengkujuh, namun bekalan import didakwa masih dibawa masuk ke negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya