Gred Purata Nasional STAM 2022 naik 0.02 peratus - Utusan Malaysia

Gred Purata Nasional STAM 2022 naik 0.02 peratus

STAM 2022
FADHLINA Sidek bergambar bersama calon Mumtaz Sofi STAM dari SAMT Tengku Ampuan Rahimah, Muhammad Zaurein Rosman dan Muhammad Shahrul Nizam Mustapha, di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Gred Purata Nasional (GPN) bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2022 menunjukkan peningkatan 0.02 peratus berbanding 2021.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, GPN pada tahun lepas adalah 3.13 iaitu turut 0.02 peratus berbanding tahun 2020 iaitu 3.15.

“Bagaimanapun, Gred Purata STAM 2022 bagi sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan penurunan pada kadar 0.01 peratus iaitu 2.91 berbanding 2.92 pada tahun 2021.

“Namun, pencapaian peperiksaan STAM bagi sekolah KPM menunjukkan kualiti yang lebih baik,” katanya semasa mengumumkan keputusan STAM tahun 2022 di Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Tengku Ampuan Rahimah, di sini, hari ini. 

Beliau menambah, seramai 4,453 orang calon yang menduduki peperiksaan STAM pada tahun lalu, daripada jumlah keseluruhan 4,634 calon yang mendaftar bagi menduduki peperiksaan ini.

Fadhlina berkata, calon STAM boleh mendapat keputusan mereka mulai 10 pagi tadi.

“Saya menggalakkan pelajar untuk mengambil STAM kerana peperiksaan ini turut diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan dalam sektor awam.

“Kami di KPM meraikan semua calon STAM tidak kira apa pun keputusan yang diperoleh calon kerana mereka mempunyai masa hadapan yang cerah bagi menyambung pengajian atau mendapat pekerjaan,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, Fadhlina mengumumkan dua pelajar SAMT Tengku Ampuan Rahimah, Muhammad Zaurein Rosman dan Muhammad Shahrul Nizam Mustapha diumumkan sebagai pelajar terbaik STAM 2022 yang memperoleh Mumtaz Sofi iaitu keputusan amat cemerlang dalam semua 10 subjek diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN