PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam menegaskan geran yang diberikan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kepada syarikat produksi adalah amanah dan duit rakyat yang perlu diuruskan dengan baik.
Bagaimanapun, Yusof tidak menolak kemungkinan individu yang tersalah guna duit tersebut kerana mempunyai masalah peribadi lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19.
“Kalau kita pinjam bank dan tak bayar pun kena ambil tindakan serta diisytihar bankrap. Inikan pula geran yang merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Sebab ia adalah duit rakyat dan terserah pada pihak kerajaan untuk bertindak.
“Mungkin juga ada yang ‘sangkut’ semasa pandemik Covid-19 yang terpakai duit tersebut. Kita pun tak tahu masalah mereka sebab ada kawan-kawan saya juga. Saya pun tak berani nak komen banyak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan dana filem RM20 juta yang diberikan kepada syarikat produksi didakwa diseleweng untuk kepentingan peribadi termasuk membeli rumah dan percutian mewah.
Pendedahan itu susulan 47 individu dan syarikat produksi dikenalpasti menerima dana tersebut tetapi tidak menerbitkan filem dan telah disaman.
Mengulas lanjut, Yusof berkata, dia tidak menafikan ada segelintir syarikat produksi yang mengambil kesempatan terhadap geran tersebut.
Katanya, dia teringat semasa pihak kerajaan pernah menawarkan geran RM50 juta kepada syarikat produksi tempatan dan ramai beria-ia merebut peluang tesebut.
“Masa itu memang saya tak ambil sebab ia adalah pinjaman dan bukan geran. Banyak syarikat baharu yang ambil sedangkan tiada pengalaman. Sekali sudah buat filem tetapi tidak berjaya dan gagal bayar semula pinjaman.
“Dalam konteks dunia filem memang isu ini berlaku sebab ada yang ambil peluang. Perkara seperti ini berlaku dalam semua sektor,” katanya.