ARAU: Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan merampas Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dijadualkan tidak lama lagi.
Hal demikian kerana, rakyat Kedah sudah pastinya ingin melihat keseragaman kerajaan pusat dan negeri seterusnya memudahkan perancangan terutama daripada segi peruntukan di negeri tersebut.
Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, ‘tagline’ ‘kalih bagi sama’ yang diperkenalkan gabungan tersebut dilihat bersesuaian dalam misi menawan Kedah dalam PRN itu.
Katanya, bagi merealisasikan harapan itu, kedua gabungan tersebut perlu memantapkan kerjasama khususnya dalam soal pengagihan kerusi kelak.
“Di negeri-negeri juga perlu memastikan keselarasan antara blok penyatuan parti antara BN dan komponen-komponen PH itu. Mereka juga perlu bersama-sama membantu UMNO yang diketuai Datuk Seri Mahdzir Khalid
berdasarkan kredibiliti beliau mengemudi sebelum ini.
“Semua parti-parti dalam gabungan tersebut perlu memainkan peranan jika ingin memastikan Kedah dapat kembali ditawan,” katanya di sini hari ini.
Tambah Kamarul Azman, jika momentum tersebut dapat diteruskan, tidak mustahil Kedah mampu dirampas dalam PRN kelak.
“Kerajaan perpaduan dan di peringkat negeri perlu seiring. Malah ‘tagline’ kalih bagi sama amat bersesuaian untuk PRN Kedah dalam mengembalikan kepercayaan rakyat selain perlu ada semangat setiakawan dan saling membantu,” katanya.-UTUSAN