KUALA LUMPUR: Bulan Ramadan bulan yang mulia, sempena sambutan Hari Nuzul al-Quran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), G20 Goldwing Malaysia menyantuni golongan gelandangan di Chow Kit, di sini malam tadi.
Menurut Presidennya, Datuk Sulaiman Sami’an, mengambil keberkatan bulan mulia tersebut beliau bersama ahli hadir menghulurkan sumbangan kepada lebih 200 golongan tersebut.
“Malam Ramadan yang penuh keberkatan saya bersama kumpulan ahli G20 Goldwing Malaysia turun ke sini menghulurkan sumbangan seperti makanan dan alat tulis.
“Sumbangan alat tulis adalah bagi menggalakkan anak-anak gelandangan terus belajar dan belajar,” katanya kepada pemberita malam tadi.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan bersama ahli-ahli dengan mengagihkan barangan makanan dan alat tulis yang dibawa menggunakan dua buah pacuan empat roda.
Sulaiman yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Superbike Malaysia (SAM) berkata, pada malam tersebut pihaknya turut mengadakan program berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama ahli dan anggota keluarga mereka sebelum meneruskan program di kawasan tersebut.
“Malam ini kita padat dengan program mengimarahkan bulan Ramadan dengan bersolat tarawih berjemaah dan berbuka puasa bersama ahli dalam program Iftar Santai Ramadan di Bangi.
“Semoga ikatan ukhuwah sesama ahli terus mantap bagi membantu golongan yang memerlukan di mana sahaja di samping kita berkongsi rezeki yang dikurniakan Allah SWT,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya akan mengadakan program kebajikan dari semasa seperti pemberian helmet standard kepada penunggang grab dan pengguna jalanraya supaya memandu dengan berhemah dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan. –UTUSAN