KETIKA rakan-rakan seusia dan sebayanya mula mempunyai teman wanita, Fimie Don, 25, perlu melupakan seketika hasrat tersebut kerana keluarga adalah keutamaannya.
Apatah lagi ayahnya menghidap strok sejak tujuh tahun lalu, membuatkan pemilik nama sebenar Shafimie Saedon perlu memainkan tanggungjawab sebagai anak.
Ujian hidupnya bagai jatuh bertimpa selepas ibunya mengalami mild strok Ketika sedang menulis skrip drama. Namun, mujur tiada masalah serius yang melanda ibunya.
“Mama kena mild strok dalam seminggu, tiga bulan lepas. Ayah pula terbaring atas katil sebab kena strok belah kanan tetapi dia masih boleh makan,” katanya.
Berkongsi pengalaman menguruskan ayahnya, Fimie berkata, dia sudah biasa membersihkan najis dan menyalin lampin pakai buang tanpa memikirkan soal geli.
Katanya, dia dan ibu serta kakak akan bergilir-gilir menjaga ayah mereka.
“Pernah ada rasa geli nak buat masa mula-mula, tetapi saya tetapkan niat mahu rumah bersih dan tak berbau.
“Betul tiada sesiapa di dunia ini yang boleh buat secara sukarela. Tetapi bila ada keterdesakan, kita akan buat juga. Geli sekalipun tetap boleh buat juga,” katanya,
Pelakon drama bersiri Nenek Bongkok Tiga ini berkata, dia bersyukur kerana masih berpeluang menjaga kedua-dua ibu dan bapanya.
Katanya, orang sakit mentalnya perlu kuat, tetapi individu yang menjaga orang sakit mental dan fizikal perlu kuat.
“Hari-hari saya ada peluang nak ucap terima kasih dan minta maaf pada mereka. Orang lain mungkin sudah tiada orang tua lagi.
“Mama adalah seorang wanita yang cekal. Dulu papa dia pernah emosional sebab bila sakit dia rasa menyusahkan orang lain, tetapi sekarang dia dah reda,” katanya.
RINDU AYAH SIHAT
Fimie yang membintangi drama Melur Untuk Firdaus 2 berkata, dia sangat merindui keadaan semasa ayahnya masih sihat tujuh tahun lalu.
Kongsinya, ayahnya adalah seorang pendengar yang baik terhadap anak-anak sehingga sekarang.
“Tapi sekarang dia hanya mendengar sahaja. Dia boleh cakap tapi sebab sakit, dia kurang bercakap,” katanya.
Pelakon Remaja Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 ini berkata, mereka sekeluarga pernah berusaha membawa ayahnya pulang ke kampung di Alor Setar, Kedah, setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Namun, katanya, ayahnya tidak selesa dan menjadi pening ketika berada di dalam kereta.
“Sebelum ini kalau balik kampung, mak akan balik sehari. Jadi saya akan jaga ayah di rumah.
“Tahun ini sebab ramai ada di rumah dan abang boleh menjaga ayah, jadi saya, mak dan kakak boleh balik kampung,” katanya.