PETALING JAYA: Fasiliti Sokongan Akaun 2 yang merupakan satu kemudahan bertujuan membantu ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pemohon boleh mendapatkan pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada jumlah RM50,000.
KWSP dalam kenyataan memaklumkan, semua pencarum warga Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk pengeluaran umur 50 tahun atau 55 tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 dan tempoh pembayaran balik adalah sehingga 10 tahun.
Tambah kenyataan itu, kemudahan berkenaan dibuka secara dua peringkat dengan fasa satu bermula pada 7 April ini dan kekal dibuka selama setahun kepada ahli layak berumur 40 tahun ke atas dan tertakluk kepada kesediaan bank mengambil bahagian.
Namun untuk fasa dua untuk ahli di bawah umur 40 tahun dan tarikh diumumkan dalam masa terdekat.
“Fasiliti Sokongan Akaun 2 akan dilaksanakan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu Bank MBSB dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
“KWSP akan mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak bank yang mengambil bahagian pada masa hadapan,” kata kenyataan sama lagi.
Fasiliti Sokongan Akaun 2 merupakan satu kemudahan bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan dengan pengeluaran adalah bersyarat di mana pembayaran hanya dibuat kepada institusi perbankan apabila pencarum mencapai umur 50 hingga 55 tahun seperti termaktub dalam Akta KWSP.
KWSP menambah, pihak bank akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan ini, tertakluk kepada penilaian pembiayaan dan rangka kerja kredit mereka dengan permohonan pembiayaan peribadi boleh dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan mengambil bahagian.
“Sebelum membuat permohonan, ahli perlu membuat semakan awal kelayakan dalam Akaun 2 KWSP. Permohonan hendaklah dibuat mengikut terma dan syarat yang dipersetujui dengan institusi perbankan.
“Setelah permohonan diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal pengeluaran bersyarat umur 50 tahun atau 55 tahun kepada KWSP berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan,” katanya.
Tambah KWSP, kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) akan dikenakan oleh bank-bank yang mengambil bahagian di bawah program ini adalah antara empat peratus hingga lima peratus iaitu lebih rendah dan lebih berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu lapan peratus hingga 15 peratus.
Jelasnya, kemudahan ini disasarkan kepada ahli KWSP mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong dengan pendapatan yang berpatutan bagi memastikan mereka mampu membiayai dan membayar balik tanpa menjejaskan kecukupan dan keselamatan simpanan persaraan mereka.
“Fasiliti sokongan ini menawarkan penyelesaian praktikal untuk ahli KWSP yang menghadapi isu ketidakcukupan tunai sementara dengan menyediakan aliran tunai melalui pembiayaan peribadi dengan impak minimum kepada simpanan persaraan mereka,” kata KWSP.
Menurut KWSP, pihaknya akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada mana-mana peringkat umur antara 50 dan 54 tahun mengikut pilihan ahli sekiranya ahli membuat notis awal untuk pengeluaran umur 50 tahun.
“Jika ahli memilih pengeluaran umur 55 tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada umur 55 tahun. Jumlah yang dibayar akan digunakan untuk menjelaskan baki pembiayaan peribadi sekiranya ada, sebelum memulangkan sebarang lebihan kepada ahli.
“Simpanan ahli akan kekal dalam Akaun 2 dan terus menerima dividen tahunan KWSP, seterusnya membolehkan ahli mengambil manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen ke atas simpanan persaraan mereka, di samping masih memenuhi keperluan kewangan jangka pendek mereka,” jelas KWSP.
Pada masa sama, ahli boleh membatalkan notis awal pengeluaran umur 50 tahun atau 55 tahun dengan memaklumkan kepada KWSP sekiranya ahli telah menyelesaikan sepenuhnya pembiayaan peribadi mereka.
“Sebaik sahaja notis awal dibatalkan, jumlah yang dipohon untuk pengeluaran (prinsipal dan dividen terkumpul) dalam Akaun 2 boleh digunakan untuk pengeluaran pra-persaraan lain daripada KWSP,” katanya.
KWSP kemudian menjelaskan, bermula Rabu atau 5 April, ahli boleh melawat https://fsa2.kwsp.gov.my untuk menyemak kelayakan dan amaun pembiayaan peribadi yang boleh dimohon, serta soalan-soalan lazim berserta jawapan berkenaan fasiliti ini.
“Ahli juga perlu mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit melalui Self-Service Terminal di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Transaction Authorisation Code (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi,” ujar kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut mengenai Fasiliti Sokongan Akaun 2, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 038922 6000.- utusan