KUALA LUMPUR: Pelakon, Farid Kamil, 41, memaklumkan tidak akan berputus asa untuk menyelamatkan rumah tangganya yang kini berdepan konflik dan pergolakan.
Kata pelakon tersebut, dia tetap akan mempertahankan rumah tangga kerana masih sayangkan isteri, Diana Danielle dan anak-anaknya.
“Saya tetap mahu selamatkan rumah tangga ini dan saya tetap sayangkan Diana dan anak-anak saya.
“Kepada Diana, bertaubatlah sebelum terlambat. Dia mungkin ditimpa laknat yang saya sendiri pun tak boleh nak ampunkan.
“Sebagai manusia, saya tetap maafkan kerana dia adalah isteri dan ibu kepada anak-anak saya,” katanya.
Farid berkata demikian usai prosiding Sulh yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. Beliau diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Diana bagaimanapun tidak hadir prosiding tersebut.
Ditanya tentang perkembangan prosiding Sulh berkenaan, Farid memaklumkan prosesnya berjalan lancar dan berharap penyelesaian terbaik.
Jelasnya, mahkamah juga telah menetapkan prosiding Sulh kedua pada 25 Mei depan.
“Proses itu yang dicari untuk saya berdamai dengan isteri dan kembalikan anak-anak kepada ibu bapa mereka berjalan lancar.
“Saya juga telah berjumpa pegawai Sulh, menceritakan harapan dan tujuan saya.
“Saya harap doa saya dan orang ramai dimakbulkan supaya Diana lembut hati dan masih ingat, dia isteri saya,” katanya.
Dalam pada itu, Farid juga mengemukakan beberapa tawaran kepada Diana yang keseluruhannya bernilai lebih RM300,000 untuk menyelamatkan perkahwinan mereka.
Tawaran tersebut antara lain berbentuk sebuah kereta Toyota Vellfire bernilai RM225,000, barangan kemas (RM10,700), wang pendahuluan nafkah untuk Mac hingga Jun (RM40,000).
Pada masa yang sama, Farid juga berjanji akan membayar semula kos perbelanjaan umrah berjumlah RM44,000 yang ditanggung Diana sebelum ini.
Disoal tentang perkara itu, jelas Farid, tawaran-tawaran tersebut merupakan hadiah istimewa untuk memujuk Diana.
“Diana sebelum berangkat ke umrah Januari lalu ada meluahkan hasrat untuk menukar kereta baharu. Jadi saya beri kejutan sebuah kereta Vellfire yang merupakan kereta pilihannya sendiri.
“Tawaran ini adalah hadiah istimewa untuk Diana. Ini sahaja yang saya mampu berikan buat masa ini.
“Saya harap dia boleh terima semua itu dan ampunkan segala kesalahan saya. Saya juga mohon maaf atas segala sangkaan mereka terhadap saya. Jangan pisahkan saya dengan anak-anak dan isteri saya,” rayunya.
Diana, pada 10 Mac lalu, memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Permohonan itu dibuat atas alasan tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri. Farid bagaimanapun enggan melafazkan cerai ke atas Diana.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan menetapkan 30 Mei depan bagi kedua-keduanya memaklumkan kepada mahkamah mengenai laporannya.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – UTUSAN