KUALA LUMPUR: Pelakon, Farid Kami, tampil memohon maaf kepada isteri, Diana Danielle dan ibu mertuanya, Norsiah Ramli ekoran ulasannya berhubung dakwaannya sebelum ini tentang kewujudan pihak ketiga dalam konflik rumah tangganya.
Permohonan tersebut dibuat menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instastorynya semalam.
Pada masa yang sama, Farid turut memaklumkan dia menarik balik jawapan yang dikongsikannya kepada media berkenaan perkara tersebut.
“Saya menarik balik kenyataan saya mengenai soalan daripada wartawan berkaitan pihak ketiga.
“Saya dengan rendah diri memohon maaf secara terbuka kepada ibu mertua saya, Norsiah Ramli serta isteri, Diana Danielle di atas kenyataan saya pagi tadi (semalam).
“Sekali lagi di bulan Ramadan yang mulia ini saya mohon dimaafkan kekhilafan yang terjadi,” tulisnya.
Farid pada semalam hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Selangor bagi menjalani prosiding Sulh yang bermula sekitar pukul 11.40 pagi. Diana bagaimanapun tidak hadir ke prosiding tersebut.
Ketika ditemui pemberita usai prosiding berkenaan, pelakon berkenaan antara lain mendakwa Diana pada tahun 2019 telah menghalau ibunya itu keluar dari rumah.
Dia turut meluahkan rasa hairan, apabila selepas sekian lama tidak berhubung, ibu mertuanya itu secara tiba-tiba hadir ke mahkamah yang sama bersama Diana tidak lama dahulu.
Diana, pada 10 Mac lalu, memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Permohonan itu dibuat atas alasan tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri. Farid bagaimanapun enggan melafazkan cerai ke atas Diana.