Fahmi jamin tiada karya animasi tempatan dipinggirkan

Fahmi jamin tiada karya animasi tempatan dipinggirkan

FAHMI Fadzil melawat pameran selepas sesi town hall bersama industri kreatif di Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersedia bagi membuka ‘pintu’ kepada semua pemain industri kandungan kreatif yang dikatakan ditindas agensi tertentu.

Jaminan tersebut disuarakan Menterinya, Fahmi Fadzil yang meluahkan rasa terkilan jika benar ada syarikat produksi tidak menerima layanan adil oleh pihak berkuasa.

“Saya pernah buat intervensi dan mungkin ramai masih ingat lagi kes aneh yang menimpa Mechamoto apabila kena sailang (ditipu) untuk tayangan di pawagam negara ini,” katanya ketika berucap pada sesi Town Hall Industri Kreatif Siri Kedua: Kandungan Digital dan Teknologi Kreatif di sini hari ini

Mechamoto merupakan prekuel siri animasi dengan tajuk yang sama diterbitkan oleh Animonsta Studios pada 2021 dan sebahagian daripada francais siri sebelumnya, BoBoiBoy.

Siri musim karya ini malah ditayangkan di saluran televisyen antarabangsa dan wadah penstriman global dengan meraih sambutan luar biasa para penonton di seluruh dunia.

“Bayangkan karya ini sepatutnya ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia tetapi tiba-tiba ‘dibuang’ dalam senarai Skim Wajib Tayang konon tiada pulangan nilai,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun hasil tindakan pantas beliau sendiri memanggil semua pihak yang terlibat, karya itu akhirnya ditayangkan dan mencipta rekod pecah panggung RM34 juta.

Justeru, beliau memberi amaran bersedia melakukan intervensi sekiranya timbul lagi isu sedemikian kerana tidak mahu melihat nasib karya tempatan dipinggirkan di negara ini memandangkan kualiti kandungan kreatif buatan Malaysia setanding serta jauh ke hadapan di peringkat dunia.

Bahkan, Fahmi berkata, Malaysia sebenarnya sudah menjadi hab untuk industri digital kreatif di peringkat Asia Tenggara tetapi ramai tidak sedar fakta tersebut.

“Kita megah dengan produk luar negara konon hebat tetapi terlupa produk tempatan dan saya beri jaminan akan berjuang membela nasib anda semua lebih baik,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau bersedia menemui pemain industri yang berasakan diri mereka teruk ditindas oleh mana-mana 12 agensi di bawah KKD sekiranya ada bukti jelas selain tidak berkompromi dengan amalan salah laku sebagaimana teguran dalam laporan Ketua Audit Negara.

Beliau memberi contoh beberapa kes penyelewengan dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia kepada pengusaha tempatan yang didedahkan media baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya